Soalan; Ustaz, Saya ingin bertanya mengenai hukum mengerjakan haji dan umrah di bawah pakej pinjaman islamik yang ditawarkan. Tetapi dari segi tanggungan sedia ada tidak terganggu cuma ingin menunaikan haji/umrah dengan lebih segera. Jika ingin dikumpulkan wang mungkin mengambil masa. Sekian terima kasih.
Jawapan;
1. Sebenarnya tidak perlulah kita berhutang untuk mengerjakan haji atau umrah. Orang yang terpaksa berhutang untuk mengerjakan haji dan umrah menunjukkan bahawa ia belum mampu. Ibadah haji tidak wajib melainkan apabila seseorang itu telah mampu. Ini berdasarkan firman Allah (bermaksud); "Dan di antara kewajipan manusia terhadap Allah ialah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana" (Ali Imran, ayat 97). Kemampuan termasuklah dari segi kewangan merangkumi kos pengangkutan ke Tanah Suci, perbelanjaan diri sendiri di sepanjang perjalanan haji dan perbelanjaan orang-orang yang wajib dinafkahinya selama tempoh ia mengerjakan haji.
2. Walaupun tidak dituntut berhutang, namun jika seseorang itu meminjam/berhutang untuk mengerjakan haji/umrah, para ulamak menegaskan; hukumnya adalah harus (yakni tidak haram dan tidak juga makruh, walaupun yang terbaik ialah tidak meminjam) dan haji/umrahnya sah (jika memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan) serta gugur kewajipan haji/umrah darinya. Hendaklah dipastikan pinjaman itu bukan pinjaman yang berteraskan riba. Jika tidak, si pemimjam telah melakukan dosa besar dan mengurangkan pahala haji/umrahnya.
3. Apa yang terbaik ialah dengan kita menghimpun wang dari masa ke semasa dan apabila wang yang dikumpul mencukupi barulah kita menunaikan haji. Cara ini dapat mengelakkan kita dari menanggung hutang di mana berhutang di dalam Islam sekalipun diharuskan tetapi tidak digalakkan.
Rujukan;
1. Fatwa Dar al-Ifta' Mesir (www.dar-alifta.org), no. 1333.
2. Fatwa (islamweb.com), no. 13608, 7090, 12865, 58684.
No comments:
Post a Comment