Soalan; Assalamu alaikum, ustaz. Saya ingin mendapat pandangan sebenar tentang MLM. Saya baca satu blog (http://www.aididmuaddib.blogspot.com/), penulisnya kata semua MLM haram. Ada fatwa-fatwa ulamak beliau bawakan. Ustaz pula dalam jawapan-jawapan ustaz; MLM tidak semuanya haram, ada yang harus. Minta ustaz jelaskan lebih lanjut supaya orang seperti saya ini tidak keliru. Terima kasih.
Jawapan;
Saya membaca sedikit sebanyak blog tersebut (khusus berkait dengan MLM). Biasa sahaja sebelum ini saya mendengar pro dan kontra tentang MLM kerana antara ulamak sendiri berbeza pandangan. Namun membaca blog tersebut –khusus diruang komennya- saya agak terkejut kerana ada orang yang membicara hal agama namun dengan bahasa yang begitu kesat (apatahlagi ditujukan kepada ulamak) semata-mata kerana tidak sepandangan dengannya. “..bodohlah ulamak-ulamak yang mengharuskan MLM...” itulah antara bahasa yang digunakan dan ditujukan kepada ulamak-ulamak Mesir dan Malaysia (kerana mereka mengharuskan sebahagian MLM). Malah ungkapan seperti “..spesis b*bi hutan” juga sanggup digunakan. Saya mengungkit perkara ini sebelum menjawab soalan di atas sebagai muhasabah kepada diri saya dan pembaca; agar kita menjaga adab-adab khilaf. Kita boleh berbeza pandangan, tetapi adab-adab mesti dijaga terutamanya kepada ulamak. Penghinaan bukan sahaja haram ditujukan kepada ulamak, malah kepada sesama muslim. Sabda Nabi “Bukanlah seorang mukmin orang yang suka mencerca, melaknat dan bercakap kotor” (HR Imam Ahmad dari Abdullah bin Mas’ud).
Para ulamak berikhtilaf dalam masalah yang lebih besar dari MLM tetapi mereka tetap menjaga lidah mereka dari mencerca ulamak yang lain. Memang benarlah kata Allah (bermaksud); “Tidak sama orang berilmu dengan orang tidak berilmu...” (Surah az-Zumar, ayat 9).
1. Hingga sekarang berlaku perdebatan antara ulamak-ulamak aliran Salafiyah dan aliran Asyairah di mana ulamak-ulamak aliran Salafiyah menganggap aqidah Salafiyah mewakili Ahlussunnah, sementara ulamak-ulamak Asyairah pula menganggap aqidah ‘Asyairah lah mewakili Ahlus-Sunnah. Perdebatan berlaku dalam suasana yang ilmiah dan harmoni, cuma sebahagian ulamak Salafiyah agak keterlaluan dalam mengkritik aliran yang tidak selari dengan fahaman mereka.
2. Jumhur ulamak (mazhab Maliki, Hanafi dan Hanbali) menganggap Bai’ al-Inah adalah riba, sedang mazhab Syafiie menganggap ia harus. Pandangan mazhab Syafiie inilah yang menjadi pegangan Bank-Bank Islam di sebahagian Negara (termasuk di Malaysia) walaupun kedudukan bai’ al-‘Inah itu diperdebatkan. Majlis fatwa Arab Arab Saudi hingga sekarang tetap bertegas ia adalah riba. Namun tidak pernah kita mendengar mana-mana ulamak hari ini yang mengharamkan bai’ al-Inah itu mentohmah Bank-Bank Islam yang menggunanya sebagai bank riba. Kenapa? Kerana meraikan khilaf.
3. Aqad sewa beli (kereta, motor, rumah dan sebagainya) diharamkan oleh segolongan ulamak (antaranya ulamak-ulamak Arab Saudi), namun ramai juga ulamak-ulamak lain mengharuskannya termasuk Syeikh Wahbah az-Zuhaili (seorang ulamak terkenal dari Syiria, penulis kitab al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu).
4. Jumhur ulamak (mazhab Syafiie, Maliki dan Hanbali) mengharamkan perkahwinan tanpa wali dan menganggapnya tidak sah. Namun mazhab Hanafi mengharuskan dan menegaskan ia sah. Sekalipun menganggap tidak sah,tidak ada mana-mana ulamak jumhur tadi pernah mentohmah penganut mazhab Hanafi telah berzina kerana bersetubuh dengan berkahwin tanpa wali. Kenapa? Kerana meraikan khilaf yang berlaku.
Begitulah ulamak. Mereka menegakkan hujjah bagi pihak mereka, namun mereka tetap meraikan pandangan dan pendapat ulamak lain. Dari keperluan bersikap toleransi seperti inilah, para ulamak mensepakati satu prinsip dalam Fiqh Islam; “Tidak diingkari perkara yang diikhtilafkan, akan tetapi diingkari perkara yang telah diijmakkan”. Berkata Imam Nawawi; “Amalan-amalan dan ucapan-ucapan yang rumit yang tertakluk dengan ijtihad, tidak harus orang-orang awam menceburinya dan tidak harus mereka mengingkarinya. Hal demikian hendaklah diserahkan kepada para ulamak. Para ulamak pula mereka hanya mengingkari/menegah perkara yang telah diijmakkan. Adapun perkara yang diiktilafkan, tidak ada keingkaran terhadapnya kerana menurut salah satu dari dua mazhab (berkenaan ijtihad); setiap mujtahid adalah benar. Pandangan ini adalah yang terpilih di sisi ramai para muhaqqiqin (penganalisis) atau kebanyakan mereka. Adapun menurut satu pandangan/mazhab lagi; yang benar satu sahaja dan yang salah tidak tertentu bagi kita dan dosa terangkat darinya…”. (Untuk memahami lebih lanjut persoalan ini, sila baca tulisan saya tentang “KHILAFIYAH DAN BID’AH” dalam blog Koleksi al-Qalam).
Kembali kepada soalan, jawapan saya ialah;
1. Apabila kita membaca fatwa, kita mesti mengetahui perbezaan fatwa dengan llmu agama yang bersifat am. Fatwa merujuk kepada soalan dan orang yang bertanya dan tasawwur mufti terhadap soalan yang ditanya. Tidak semestinya fatwa yang diberikan untuk satu kes menepati semua kes. Kerana itu, fatwa mesti dibaca dengan merujuk kepada kes yang ditanya. Jika fatwa ingin dinaqalkan untuk kes berlainan –sekalipun ada iras-iras dengan kes pertama-, ia hendaklah dinaqalkan oleh ulamak juga yang mampu membaca fatwa itu dan memastikannya tepat dengan kehendak kes kedua (mengikut hukum Syarak).
2. Dalam blog yang dikemukakan dalam soalan di atas; sandaran untuk mengharamkan semua jenis MLM ialah Fatwa Arab Saudi (al-Lujnah ad-Daimah). Perlu disedari bahawa Fatwa Arab Saudi bukanlah bersifat qat’ie (tidak boleh dipertikaikan), begitu juga fatwa-fatwa yang senada dengannya. Jika fatwa tersebut bersifat qat’ie, pasti tidak ada fatwa lain yang bercanggah dengannya (sebagaimana sifat semua hukum qat’ie dalam Islam). Namun realitinya ada fatwa-fatwa lain yang berbeza dengan fatwa Arab Saudi tersebut, antaranya;
a) Fatwa Majlis Fatwa Mesir (Dar al-Iftak al-Misriyyah)
b) Fatwa Majlis Ulamak Indonesia (MUI)
c) Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan (Malaysia).
Fatwa-fatwa ini tidak menghukum semua MLM sebagai haram. Sebagaimana mu’amalat-mu’amalat baru yang lain (perbankan, insuran dan sebagainya), MLM juga boleh menjadi halal dan boleh menjadi haram bergantung kepada apakah ia memenuhi ciri-ciri muamalah Syariat atau tidak?.
3. Fatwa Majlis Fatwa Mesir; pembaca boleh membacanya di alamat (http://www.dar-alifta.com/ViewFatwa.aspx?ID=5158). Pembaca yang tidak memahami bahasa Arab boleh membaca sinopsis yang saya buat dalam jawapan saya sebelum ini “PENDAPATAN MELALUI MLM”. (*Jika saya ada kelapangan, saya akan usaha terjemahan sepenuhnya insya Allah). Setelah membuat penjelasan yang panjang lebar, fatwa tersebut menegaskan; “Berdasarkan keterangan yang lalu, kami berpandangan tidak ada sebarang tegahan untuk menjalankan muamalah tersebut (yakni MLM) dan tidak ada tegahan juga untuk memberi (hadiah/bonus) dengan peratusan tertentu kepada seorang yang ia telah menjadi sebab kepada pengedaran (barang/produk) sekalipun secara tidak langsung kerana sebab yang melayakkannya untuk mendapat hadiah/bonus masih kekal dan itu mencukupi untuk mengharuskan pemberian (hadiah/bonus) kepadanya”. (*Majlis Fatwa Mesir dipengerusikan oleh Mufti Mesir; Syeikh Prof. Dr. Ali Jumaah, seorang ulamak al-Azhar yang pakar Usul Fiqh dan Ekonomi Islam).
4. Fatwa Majlis Ulamak Indonesia, boleh dibaca di (http://www.mui.or.id/index.php?option=com_docman&task=doc_view&gid=92&tmpl=component&format=raw&Itemid=90 ) atau (http://esharianomics.com/wp-content/uploads/2011/04/75-pedoman_plbs.pdf). Di antara kenyataan yang terkandung dalam fatwa tersebut ialah; “….sistem perdagangan Multi Level Marketing (MLM) diperbolehkan oleh syari'at Islam dengan syarat-syarat sebagai berikut:
a. Transaksi (akad) antara pihak penjual (al-ba'i) dan pembeli (al-musytari) dilakukan atas dasar suka sama suka (' an taradhin), dan tidak ada paksaan;
b. Barang yang diperjualbelikan (al-mabi') suci, bermanfaat dan transparan sehingga tidak ada unsur kesamaran atau penipuan (gharar);
c. Barang-barang tersebut diperjualbelikan dengan harga yang wajar”.
Jelas fatwa ini sama seperti fatwa Dar al-Iftak Mesir tadi iaitu MLM boleh menjadi halal jika memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Jadi, bukan semua MLM haram. Al-Hamdulillah, saya telah berdepan secara lansung dengan ulamak-ulamak MUI yang menggubal fatwa tersebut tatkala dipanggil untuk mewakili Panel Syariah HPA (di mana saya bertindak sebagai setiausahanya. Saya hadir bersama pengerusi Panel Syariah; Ustaz Ahmad Ali, lulusan M.A al-Azhar takhassus Usul-Fiqh). Kami dipanggil untuk membentangkan Plan Pemasaran MLM HPA. Hampir 5 jam kami dinilai dan disoal dalam Dewan Mesyuarat MUI oleh ulamak-ulamak dari Dewan Syariah MUI yang berjumlah hampir 10 orang dari pelbagai disiplin ilmu (termasuk seorang pakar dalam MLM). Dan diikuti pula dengan lawatan wakil MUI ke Malaysia (2 orang) untuk melawat kilang-kilang dan melihat sendiri produk HPA serta harganya. Al-Hamdulillah, akhirnya Dewan Syariah MUI telah mengeluarkan sijil pengiktirafan kepada MLM HPA sebagai MLM Syariah (Sijil MUI bertarikh 29 Disember 2010, sila lihat sijil ini di blog HPA Indonesia; http://awmithpa.blogspot.com/ (bahagian downloads)). Saya amat bersyukur kepada Allah kerana keputusan Panel Syariah HPA meluluskan MLM HPA sebagai MLM Syariah telah diakui oleh ulamak-ulamak yang lebih berilmu. Sudah tentu mereka telah menyemaknya dengan terperinci. Falillahi al-Fadhl wal-Minnah. Selain itu, Plan Pemasaran HPA juga telah dibentang di hadapan Panel yang dibentuk JAKIM untuk mengkaji tentang sistem MLM dan al-Hamdulillah maklum balas dari mereka juga positif terutamanya terhadap buku “Garis Panduan MLM Syariah” yang digubal oleh Panel Syariah HPA .
5. Fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan boleh pembaca ikuti di laman E-Fatwa JAKIM. Dinyatakan dalam fatwa tersebut; “Muzakarah telah memutuskan bahawa konsep, struktur dan undang-undang perniagaan Multi Level Marketing (MLM) yang diluluskan Kerajaan adalah harus dan tidak bercanggah dengan konsep perniagaan Islam” (http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/hukum-sistem-jualan-langsung-mlm-menurut-islam).
6. Mengenai Fatwa Arab Saudi jika direnungi fatwa tersebut ayat demi ayat, kita akan mendapati ia merujuk kepada Money Game. (Rujuk fatwa tersebut; al-Lujnah ad-Daimah Lil-Buhuth al-‘Ilmiyah wa al-IFta’, Kerajaan Arab Saudi. No. Fatwa; 22935. Tarikh Fatwa; 14/3/1425H).
Di antara kenyataan yang ada dalam fatwa tersebut ialah “Tujuan sebenar dari bisnes seperti itu (yakni MLM) adalah memperoleh komisyen/bonus (semata-mata), bukan produk” . Kenyataan fatwa ini jika dirujuk kepada perniagaan HPA ia tidak berlaku. Perniagaan HPA memang bertujuan untuk penjualan produk (dengan menggunakan MLM sebagai mekanisme pemasarannya). Kewujudan produk dalam MLM HPA merupakan realiti, bukan gimik semata-mata. Hingga saat ini, jumlah produk HPA telah melebihi 500 produk (di Malaysia) dan 45 produk (di Indonesia). Bonus yang diperoleh berkadaran dengan jumlah penjualan yang dibuat baik jualan individu dan juga kumpulan. Persen bonus mengikuti peranan masing-masing berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan dalam Aqad al-Ju’alah. Hakikat yang sama saya temui dalam beberapa MLM yang lain, antaranya Storm Readers (yang diasaskan oleh sahabat saya Ustaz Dr. Zahazan dan disemak plan pemasarannya oleh Ustaz Zaharuddin) yang menjalankan perniagaan buku dan bahan bacaan. Sememangnya penjualan produk berlaku dan komisyen/bonus datang dari hasil penjualan tersebut iaitu dari keuntungan yang dikongsi bersama antara syarikat dan para pengedarnya.
Oleh demikian, fatwa Arab Saudi itu tidak mentasawwurkan semua jenis MLM, kerana itu ia tidak boleh mewakili semua jenis MLM. Ia hanya harus dibaca kepada Money Game sahaja atau MLM yang berunsurkan Money Game. Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perbezaan antara Money Game dengan MLM dan MLM Syariah, sila dapatkan buku “SOAL-JAWAB MLM SYARIAH” (tulisan saya sendiri) dan buku “GARIS PANDUAN MLM SYARIAH” (diterbitkan oleh Panel Syariah HPA). Kesimpulan yang dapat saya buat; fatwa Arab Saudi itu tidak ada yang salahnya, cuma ia ada skopnya tersendiri. Orang yang ingin meminjam fatwa itu untuk menghukum suatu MLM ia mesti faham fatwa itu dan faham juga MLM yang ingin dinilai dengan pemahaman 100% tepat. Menjadi prinsip (kaedah) yang diamal di sisi para Fuqahak; al-Hukmu 'Ala Syai' Far'un 'An Tasawwurihi (penentuan hukum ke atas sesuatu bermula dari tasawwur yang tepat tentangnya). Antara ilmu yang mesti dimiliki (oleh orang yang ingin membuat penilaian hukum) ialah ilmu al-Asybah wa an-Nazair (iaitu kemahiran menilai masalah-masalah yang sama dan serupa) dan ilmu al-Furuq (iaitu kemahiran melihat perbezaan dua masalah yang nampak sama, tetapi hakikatnya berbeza). Sesiapa yang tiada ilmu dan kemahiran tersebut, berlapang dadalah untuk menyerah perbahasan kepada orang yang lebih tahu. Sabda Nabi; "Sesungguhnya penawar bagi orang yang tidak tahu ialah bertanya" (HR Abu Daud dari Jabir). Sabda baginda juga; "Sesiapa merendah diri kerana Allah, Allah akan mengangkat darjatnya" (HR Abu Nu'aim dari Abu Hurairah. Menurut Imam as-Suyuti; hadis ini hasan. Lihat; al-Jami' as-Saghier, hadis no. 8605).
Wallahu a’lam.
No comments:
Post a Comment