Soalan; Assalamu'alaikum w.b.t. Soalan saya...Contoh: Seorang pemilik tanah ingin menjual tanahnya yg berkeluasan 100ekar dgn harga RM30000/ekar. Dia telah melantik seorang broker/agen utk mencari pembeli bagi tanah tersebut.
Kes 1 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut maka pemilik tanah akan memberi komisyen spt 1% kpd broker tersebut.Pada saya ini tiada masalah.
Kes 2 : Jika broker dpt mencari pembeli bg tanah tersebut, sedangkan pemilik tanah tidak berjanji utk memberi sebarang upah kpd broker, maka jika broker menaikan harga tanah tersebut kpd RM31000/ekar dgn alasan ingin mengambil upah iaitu RM1000/ekar dan hal ini telah dipersetujui oleh pemilik...apakah hukumnya? Perlukah broker/agen memberitahu harga sebenar pemilik (RM30000/ekar) kpd pembeli? Jika diberitahu dikhuatiri broker/agen tidak akan mendapat sebarang upah....
Harap ustaz dpt memberi jawapan yg memuaskan...Terima kasih.
Jawapan;
1. Soalan di atas berkait dengan hukum menjadi orang tengah di antara penjual dan pembeli dan mendapat upah atau komisyen dari khidmat jualan atau khidmat runding yang diberikan. Dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai as-Samsarah. Secara asasnya, ia tertakluk kepada persepakatan atau persetujuan kedua belah pihak iaitu antara pemilik barang dan juga orang tengah yang menjadi wakil jualannya. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;
“Orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka selama mana syarat itu menepati kebenaran (yakni Kitab Allah)”. (Riwayat al-Hakim dari ‘Aisyah dan Anas –radhiyallahu ‘anhuma- (al-Jami’ as-Saghier, Imam as-Suyuti, hadis no. 9214, soheh).
Dalam riwayat yang lain; Dan orang-orang Islam terikat dengan syarat-syarat sesama mereka kecuali syarat yang mengharamkan yang halal dan yang menghalalkan yang haram”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari ‘Amru bin ‘Auf al-Muzani r.a. Menurut at-Tirmizi; hadis ini hasan soheh).
Berdalil kepada hadis tersebut, Imam al-Bukhari dalam Sohehnya (bab as-Samsarah) mengemukakan beberapa bentuk akad as-Samsarah (orang tengah) yang diharuskan oleh para salafus-soleh, iaitu;
a) Imam Ibnu Sirin, ‘Ata’, Ibrahim dan al-Hasan berpandangan; upah/komisyen as-Samsarah adalah harus.
b) Berkata Ibnu ‘Abbas –radhiyallahu ‘anhu-; Adalah harus seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini. Bayaran yang lebih dari harga sekian adalah milik kamu”. (*Akad ini mirip kepada yang ditanya dalam soalan di atas)
c) Berkata Imam Ibnu Sirin; Jika seorang berkata; “Juallah barang ini dengan harga sekian. Untungnya adalah milik kamu atau kita bahagi bersama”, hukumnya adalah harus.
(Soheh Imam al-Bukhari, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah)
Keharusan aktiviti orang tengah dengan akad seperti di atas menjadi pegangan Imam Ahmad. Namun di sisi Mazhab Syafiie dan Hanafi; akad seperti itu tidak harus kerana terdapat unsur gharar dan jahalah (yakni unsur ketidakpastian atau ketidakjelasan dalam akad) di mana orang tengah tidak pasti berapa upah/komisyen yang bakal diperolehinya kerana ia bergantung kepada terjual atau tidaknya barang tersebut. Ini kerana mazhab Syafiie meletakkan aktiviti as-Samsarah (orang tengah) sebagai akad ijarah (upah) dan dalam akad ijarah (upah), tidak harus berlaku gharar dan jahalah dengan sepakat para ulamak.
Adapun Imam Ahmad, akad di atas tidak dianggap sebagai akad ijarah (upah), akan tetapi akad yang mirip kepada mudharabah iaitu persepakatan antara pemodal dan orang yang menguruskan modal di mana untung yang diperolehi akan sama-sama dikecapi dan jika ditakdirkan rugi akan sama-sama ditanggung. Menyokong pandangan Imam Ahmad ini, Imam Ibnu Qudamah menegaskan dalam kitabnya al-Mughni; Jika seorang berkata kepada seorang yang lain; “Juallah pakaian ini (untukku) dengan harga 10. Jika kamu menjual lebih dari harga itu, yang lebih itu adalah milikmu”, akad ini adalah sah dan orang yang menjual itu berhak terhadap lebihan tersebut…Dalil keharusan akad ini ialah; (pertama) Ibnu ‘Abbas berpandangan ia adalah harus, (kedua) penjual menjual dengan keizinan pemiliknya, maka sahlah syarat keuntungan tersebut untuknya sebagaimana sahnya keuntungan yang diperolehi oleh mudharib (pengurus modal) dan ‘amil (pekerja) dalam akad musaqah” . (al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, Kitab al-Wakalah).
2. Namun sebagaimana dijelaskan oleh hadis tadi, persepakatan hanya harus jika tidak melanggar Kitab Allah dan hukum halal dan haram yang ditetapkan oleh Syariat. Kerana itu dalam aktiviti as-Samsarah (orang tengah), bukan persepakatan antara pemilik dan orang tengah sahaja yang perlu diperhatikan –untuk menentukan harus atau tidaknya aktiviti tersebut- tetapi juga kepatuhan kepada rukun dan syarat-syarat jual-beli dan memastikan tiada sebarang unsur yang ditegah Syarak dilakukan, antara yang utama ialah;
a) Barang yang dijual adalah halal. Tidak harus menjadi orang tengah untuk menjual atau mempromosi barang yang haram.
b) Tidak menipu pembeli dengan memberi maklumat palsu tentang barang yang dijual.
c) Tidak menjual dengan harga yang terlalu tinggi berbanding dengan harga di pasaran bagi barang yang sama atau hampir sama. Sebahagian ulamak menetapkan beza harga di pasaran itu jangan melebihi 1/3 (atau 34%). Contohnya; jika suatu barang di pasaran biasa dijual dengan harga RM1000, jika kita menjualnya dengan harga RM1200 atau RM1300, tidak dianggap harga terlalu tinggi. Namun jika kita menjualnya lebih dari RM1340 –seperti menjualnya hingga RM1500 atau RM2000-, jualan kita dianggap terlalu tinggi.
d) Tidak melibatkan riba, perjudian, gharar, khidmat-khidmat yang haram dan sebagainya lagi yang ditegah Syarak.
3. Mengenai harga barang, tidaklah wajib kita memberi tahu pembeli berapa modal kita mendapatkan barang yang dijual (atau berapa untung yang kita ambil) sekalipun pembeli bertanya. Namun jika kita bersetuju memberitahunya, tidak harus kita memberi tahu melainkan yang sebenar. Menurut jumhur ulamak; tidak wajib penjual memberitahu pembeli kadar untung yang diambilnya. Sekalipun untung yang diambilnya tinggi dan pembeli tidak mengetahuinya, jual-beli atau perniagaan adalah sah selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan dalam aqad.
Berkata Imam al-Ghazali; “Selama tidak terdapat penipuan atau pemalsuan, maka mengambil untung tambahan tidaklah dikatakan zalim” (Ihya’ Ulumiddin). Berkata al-Jazairi; “Syarak tidak menegah dari mengambil untuk dalam jual-beli dan tidak menghadkan kadar tertentu bagi untung. Apa yang ditegah oleh Syarak ialah penipuan, pemalsuan, memuji barang/produk dengan keistimewaan yang sebenarnya tidak ada, menyembunyikan kecacatan barang dan sebagainya” (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).
Walaupun tiada batasan tertentu bagi untung yang harus diambil, hendaklah diraikan harga pasaran sebagaimana di atas tadi.
4. Merujuk kepada soalan di atas, bentuk akad yang ditanya itu adalah harus jika memenuhi syarat-syarat di bawah;
a) Dengan persetujuan pemilik tanah
b) Tidak ada sebarang penipuan dilakukan seperti menambah-nambah keterangan palsu tentang tanah tersebut supaya pembeli tertarik membelinya dengan harga tinggi.
c) Harga yang dijual tidak terlalu tinggi berbanding harga tanah di sekitarnya atau yang sebanding dengannya.
c) Jika ditanya tentang harga asal tanah, broker (orang tengah) boleh memilih sama ada ingin memberitahu atau tidak. Namun jika ia ingin memberitahu, hendaklah dengan maklumat sebenar, tidak harus menipu. Jika tidak, lebih baik ia senyap sahaja dan terserah kepada pembeli ingin meneruskan belian atau tidak.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. Soheh Imam al-Bukhari, juzuk 8, Kitab al-Ijarah, bab Ajr as-Samsarah.
2. Al-Mughni, Imam Ibnu Qudamah, juzuk 10, Kitab al-Wakalah.
3. Soal-Jawab MLM Syariah, Ustaz Ahmad Adnan bin Fadzil.
4. Fatwa Syeikh Soleh al-Munajjid (islamqa.com), no. 121386.
Saya seorang broker tanah dan telah amalkan spt mana yg disebutkan di atas.Alhamdulillah rezeki sgt murah.Boleh kongsi pengalaman jd broker tanah dgn saya. my hp 013-4765940(tukjanggut)
ReplyDeleteAlhamdulillah, saya orang tengah juga, dan saya memang tak memberitahu pembeli harga saya dapatkan produk itu, dan harga nya pun tak terlalu tinggi dari harga pasaran. syukur, takda masalah dengan amalan perniagaan saya :)
ReplyDeleteSalam.sy ingin bertanya..saya bekerja d sebuah office yg menjalan kn pinjaman peribadi secara islamik.ada kh berdosa memakn komisen drpd kastmr yg kt dpt.dan bagai mana puladgn masa yg sama..cstmr yg kami dpt memerlukn penyata drp bnk.ada kh berdosa kerana setiap cstmr kami menyamar call bnk untuk dpt kn penyata. Tersebut.apa kh hukum nya.dan harus kh sy meninggalkn pekerjan ini.mohon penjelasan ..terima kasih
ReplyDeletesalam..saya nak tanya apa hukum pelihara dan menjual katak untuk pancing ikan haruan..terima kasih
ReplyDelete