SOALAN:
"Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum menderma darah kepada non-muslim?..."
JAWAPAN :
Assalamualaikum
w.b.t,
Saudara / Saudari yang dirahmati Allah,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 Apr 1982 telah
membincangkan Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang
Bukan Islam Dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
1. Menderma darah hukumnya harus.
2. Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan
Islam
3. Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak
digalakkan.
Keterangan/Hujah:
1. Tidak terdapat nas yang sorih daripada al-Quran dan as-Sunnah yang
menyatakan tentang hukum penggunaan darah manusia dalam bidang rawatan
sepertimana yang dijalankan dalam bidang perubatan hari ini.
Walaubagaimanapun terdapat kaedah-kaedah fiqh yang boleh diambilkira
sebagai dalil bagi mendapatkan hukum berhubung dengan tabung darah,
antaranya ialah perkara-perkara yang menjadi dasar kepada hukum Islam
iaitu Kaedah Fiqhiyah yang bermaksud: “Hendaklah diutamakan maslahah
umum ke atas maslahah khusus”.
2. Mengenai hukum pemindahan darah juga tidak terdapat nas yang sorih
sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah atau Ijma’ Ulama’ yang melarang
pemindahan darah seseorang manusia kepada manusia yang lain sama ada
kedua-duanya menganuti agama yang sama atau berlainan.
3. Bekas Mufti Mesir Sheikh Husin Muhamad Al-Makhluq dalam kitabnya
Fatwa Asy Syariah wal Buhuth al-Islamiyah, muka surat 195 menjelaskan
mengenai hukum harus memindahkan darah manusia kepada manusia yang lain
untuk perubatan seperti berikut:
“Bahawa darah yang mengalir itu walaupun haram dari segi syarak,
dengan berpandukan nas al-Quran, tetapi keadaan darurat yang memaksa
untuk perubatan/merawat dengannya maka diharuskan mengambil munafaat
dengannya bagi perubatan/rawatan dengannya dipindahkan dari seseorang
kepada seseorang yang lain (pesakit), apabila diakui oleh seseorang
doktor yang beragama Islam dan pakar yang mengenai halnya. Semua
ahli-ahli fiqh Islam mengharuskan rawatan/perubatan dengan benda-benda
yang haram dan najis, apabila tidak didapati benda-benda yang suci
(ubat-ubat yang suci) yang mengambil tempatnya, bilamana seseorang
doktor Muslim yang pakar berpendapat bahawa untuk menyelamatkan nyawa
seseorang pesakit terhenti kepada pemindahan darah kepadanya dari
seseorang yang lain (sihat), maka hukumnya adalah harus pada segi syarak
melakukan demikian”.
5. Hukum keharusan terhadap perkara ini juga didasarkan kepada Kaedah
Fiqhiyah iaitu “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang”.
Juga Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan tidaklah dijadikan ke atas
kamu sebarang kesukaran di dalam agama”.
Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Fatwa:
http://www.e-fatwa.gov.my/
Wallahua'lam
No comments:
Post a Comment