Wednesday, August 21, 2013

Qada Puasa Bagi Wanita Hamil

Soalan

Assalamualaikum wrt. wbt.
Saya cuma dapat berpuasa 7 hari saja pada ramadhan 2013 akibat alahan teruk semasa hamil 2 bulan dan risau keselamatan diri dan bayi. 1) ada di kalangan ust. yg saya bertanya mengatakan puasa yang ditinggalkan itu tidak perlu qada & hanya perlu membayar fidyah kerana bayi belum ada roh? 2) bolehkan saya hanya qada sekadar hari yang termampu sebelum ramadhan yang akan datang 3) adakah bilangan hari dan fidyah akan bertambah?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
1.         Dalam persoalan ini, di dalam hukum fiqh Islam, semua ibu yang hamil dan risaukan tentang keselamatan kandungannya sehingga menyebabkan dirinya tidak berpuasa perlu membayar fidyah dan hari puasa yang ditinggalkan masih wajib diqadha’kan.
Ringkasnya, pendapat yang diutarakan oleh ustaz tersebut tidak menepati dengan tuntutan hukum fiqh di dalam Syariat Islam.
Dari itu, anda perlu mengqadha’ kesemua puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan dan membayar fidyah puasa mengikut bilangan hari puasa yang ditinggalkan.

2.         Mengenai persoalan ini, jika anda tidak sempat untuk menghabiskan kesemua bilangan hari puasa yang telah ditinggalkan sehingga bertemu dengan bulan Ramadhan tahun hadapannya, maka anda akan dikenakan bayaran fidyah. Setiap hari akan dikenakan bayaran sebanyak 1 cupak beras (675 gram) dan diberikan kepada golongan yang tidak berkemampuan di tempat anda.

3.         Bilangan hari yang perlu diqadha’kan tidak akan bertambah. Ia kekal sebagaimana yang ditinggalkan. Namun, bayaran fidyah akan berganda mengikut bilangan tahun puasa tersebut tertunggak (masih belum diqadha’kan lagi), dan ia akan terus meningkat sehinggalah selesai diqadha’kan kesemua bilangan hari puasa Ramadhan yang telah ditinggalkan. Wallahu 'Alam.

No comments:

Post a Comment