Soalan
Salam saya nak tanya tentang taubat nasuha.. adakah seseorang muslim itu
hanya boleh melakukan 3 kali sahaja taubat nasuha? kemudian apabila
seseorang itu melakukan semula dosa-dosa besar..adakah taubat nya tidak
diterima selepas 3 kali bertaubat nasuha?
Jawapan
Waalaikumusalam,
Ulama’ telah meletakkan syarat-syarat taubat. Antaranya ialah :
1.meninggalkan dosa,
2.menyesali dosa yang dilakukannya,
3.berniat tidak mengulanginya lagi serta
4.mengembalikan hak-hak orang yang dizaliminya atau meminta halal darinya.
Namun, adakah dengan kita mengulangi perbuatan dosa tersebut menyebabkan taubat yang kita pohon tidak diterima?
Ulama’ berbeza pendapat tentang hal tersebut. Ada yang mengatakan
bahawa sekiranya yang dipohon ampun itu adalah suatu dosa, dan yang
diilakukan sesudah itu adalah dosa yang lain, maka taubatnya itu
diteriima. Tetapi jika dia mengulangi perbuatan yang sama sesudah dia
bertaubat, maka taubatnya itu tidak diterima.
Ulama’ lain pula berpendapat, walaupun yang diulangi tersebut adalah
perbuatan yang dia kesali sebelum ini, taubatnya itu diterima sekiranya
dia sungguh-sungguh menyesal atas perbuatannya. Allah berfirman :-
“Katakanlah, wahai
hamba-hambaKu yang telah melakukan perbuatan melampau batas ke atas
diri-diri mereka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah,
sesungguhnya Allah mengampuni keseluruhan dosa, sesungguhnya Dia Maha
Pengampun dan Maha Penyayang.”
(Al-Zumar:- 53)
Hal ini juga disabdakan oleh Baginda Rasulullah Sollallahu’alaihiwasallam :-
Dari Abu Hurairah r.a
"Seorang hamba melakukan dosa, dan
berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa maka ampunilah aku.
Tuhannya berfirman: hamba-Ku mengetahui bahwa dia mempunyai Tuhan yang
akan mengampuni dan menghapus dosanya, maka Aku ampuni hamba-Ku itu.
Kemudian waktu berjalan dan orang itu tetap seperti itu hingga masa yang
ditentukan Allah SWT, hingga orang itu kembali melakukan dosa yang
lain. Orang itupun kembali berdoa: Ya Tuhanku, aku kembali melakukan
dosa, maka ampunilah dosaku. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku mengetahui
bahwa dia mempunyai Tuhan Yang mengampuni dan menghapus dosanya, maka
Aku ampuni hamba-Ku itu. Kemudian ia terus dalam keadaan demikian selama
masa yang ditentukan Allah SWT, hingga akhirnya ia kembali melakukan
dosa. Dan ia berdoa: Ya Tuhanku, aku telah melakukan dosa, maka
ampunilah daku. Allah SWT berfirman: Hamba-Ku mengetahui bahwa ia
mempunyai Tuhan Yang mengampuni dan menghapus dosanya. Maka Aku telah
berikan ampunan kepada hamba-Ku, (diulang tiga kali) dan silakan ia
melakukan apa yang ia mahu"
(hadis riwayat: Bukhari dan Muslim)
Allah sentiasa memberi pengharapan kepada hamba-hambaNYA untuk
kembali kepadaNYA dengan memberi ruang dan peluang yang seluas-luasnya
kepada hamba-hambaNYA. Hal ini kerana Allah lebih mengetahui sifat kita
sebagai makhluk yang diciptakanNYA. Jadi, mengapa kita tidak pernah
menghargai peluang yang diberi oleh Allah. Selagi mana hayat di kandung
badan, dan selagi mana dunia tidak kiamat, pintu taubat sentiasa terbuka
untuk seluruh manusia.
"Sesungguhnya Allah Ta'ala selalu
membuka tangan-Nya di waktu malam untuk menerima taubat orang yang
melakukan kesalahan di siang hari, dan Ia membuka tangan-Nya di waktu
siang untuk menerima taubat orang yang berbuat salah di malam hari.
Begitulah hingga matahari terbit dari arah barat."
(H.R. Muslim)
Kita telah diberi peluang. Seandainya kita sengaja mengabaikan
peluang tersebut, nescaya kita termasuk di kalangan orang-orang yang
menzalimi diri sendiri seperti dalam firman Allah dalam surah Al-Hujurat ayat 11 yang bermaksud :-
"Dan Sesiapa yang tidak bertaubat maka mereka itu merupakan orang-orang yang zalim. "
Ayat ini ditujukan kepada orang-orang yang mengatakan sesuatu yang
buruk kepada sesama manusia, namun setiap dosa itu sama ada dosa mengata
yang buruk ataupun dosa maksiat, semuanya perlu dibersihkan dengan
taubat. Dan orang yang tidak bertaubat, Allah sifatkan sebagai menzalimi
diri sendiri.
Malaikat imannya statik. Tidak akan pernah mengkhianati amanah yang
Allah. Namun, manusia bukannya malaikat. Manusia diciptakan bersama-sama
mereka ialah nafsu serta sentiasa dilingkungi oleh hasutan-hasutan
syaitan. Maka, sebab itulah seandainya manusia berjaya mengekang
kedua-dua nafsu dan syaitan, darjatnya adalah lebih tinggi berbanding
malaikat.
Namun, atas faktor nafsu dan syaitan, serta lemahnya iman inilah yang
menyebabkan manusia selalu sahaja tersasar dari landasan yang telah
ditetapkan oleh Allah. Walaupun telah bersungguh-sungguh menyesali
perbuatan lampau, namun dek kerana lemahnya iman serta pegangan, manusia
kembali melakukan perbuatan yang pernah ditaubatinya.
Terdapat empat kategori manusia yang memohon taubat.
Golongan pertama ialah orang
yang melakukan maksiat lalu bertaubat dari maksiat tersebut dan terus
kekal dalam kebaikan. Taubat inilah yang disebut sebagai taubat nasuha,
taubat semata-mata kerana Allah. Golongan ini memiliki nafsu
al-Mutmainnah iaitu jiwa yang tenang dan redha dengan ketentuan Allah
sebagaimana firmanNya yang bermaksud :
“wahai jiwa yang
tenang (suci). Kembalilah kepada Tuhanmu dengan (hati) yang redha, lagi
diredhai di sisi Tuhanmu.” (al-Fajr, ayat 27-28)
Golongan kedua pula adalah
orang yang telah bertaubat kepada Allah dan melakukan amal kebaikan
tetapi masih terikat melakukan dosa-dosa kecil yang tidak dapat
dielakkan. Apabila ia melakukan dosa, ia segera bertaubat. Mereka ini
mempunyai nafsu lawwamah iaitu nafsu yang mencela kejahatan dan tidak
menyenanginya.
Golongan ketiga adalah golongan yang bertaubat dan terus kekal dalam
keadaan bertaubat sehingga pada suatu ketika dia tidak mengawal diri
lalu terjebak semula ke dalam maksiat. Walaupun begitu dia tidak pernah
lalai dengan melakukan ketaatan kepada Allah. Nafsu ini dikenali sebagai
nafsu musawwalah yang bermaksud nafsu yang memperdaya.
Perkara ini dirakamkan oleh Allah dengan firmanNya yang bermaksud :
“dan sebahagian mereka yang lain mengakui akan dosa-dosa mereka. Mereka
mencampuradukkan amal-amal yang baik dengan amalan yang buruk.
Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka, sesungguhnya Allah Maha
Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (al-Taubah, ayat 102)
Dan golongan keempat adalah golongan yang bertaubat dari melakukan
kemaksiatan tetapi hanya seketika. Kemudian dia kembali melakukan
dosa-dosa tanpa bersegera untuk bertaubat malah terus bergelumang dengan
maksiat. Mereka ini termasuk dalam golongan nafsu Ammarah, iaitu nafsu
yang mengajak melakukan perbuatan keji dan menjauhkan diri dari
melakukan kebaikan.
Mari kita menghisab kembali diri, adakah kita merupakan golongan
pertama, kedua, ketiga ataupun yang keempat. Andai kita berada dalam
golongan keempat,
Justeru secara rumusan,peluang untuk bertaubat itu hanya setakat 3 kali
sahaja,selepas daripada itu jika anda ulangi maka Allah tidak akan
terima taubat anda lagi.Wallahu a'lam.