asalamualaikum ustaz...saya pnh tgk gmbar yg tidak sepatutnya...pas tgk
gmbr kat fb.... perasan saya ingin tgk lg...saya mula bayangkan diri
saya sdg mbuat perkara tersebut dan saya tersang...satu mula ketagih utk
melakukan sendiri...smpai diri saya terasang...adakah pkaranie berdosa
dr segi agama??
Zina Mata
Zina mata berlaku apabila seseorang itu melihat sesuatu perkara yang
haram. Haramnya melihat sesuatu perkara boleh dilihat dari 2 konteks
yang berbeza iaitu: 1) Haram secara mutlak; 2) Asalnya harus, tetapi
bertukar menjadi haram.
Perkara yang haram dilihat secara mutlak ialah seperti yang termaktub di dalam Al-Quran. Firman Allah:
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat
pandangan mereka (daripada memandang yang haram) dan memelihara
kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh
mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup
belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka
memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau
bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau
anak-anak tiri mereka atau saudara-saudara mereka atau anak bagi
saudara-saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara-saudara mereka
yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam atau hamba-hamba mereka
atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak
berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi
tentang aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk
diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka dan
bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman,
supaya kamu berjaya.
(An-Nuur:31)
Berdasarkan pemahaman ayat di atas, seorang perempuan diharamkan untuk
memperlihatkan aurat mereka kepada bukan mahramnya. Dalam konteks ayat
ini, dapat juga kita fahami bahawa haram bagi seorang lelaki melihat
aurat seorang perempuan yang bukan mahramnya. Dan telahpun diperintahkan
kepada lelaki dan perempuan untuk menjaga pandangan mereka dalam ayat
30-31 surah An-Nuur.
Larangan Allah ini termaktub dalam skop yang cukup luas. Ia tidaklah terhad kepada larangan melihat perkara yang haram secara
live dunia
realiti sahaja. Larangan ini juga mencakupi aspek dunia maya
juga. Dalam skop yang lebih umum, apa jua perkara yang apabila dilihat,
boleh merangsang nafsu syahwat seseorang, maka ia dikategorikan sebagai zina mata.
Sepertimana yang telah disebutkan sebelum ini, zina mata adalah termasuk dalam kategori
perkara-perkara yang mendekatkan diri seseorang dengan zina. Dan hukumnya adalah jelas haram, tetapi jika melakukannya ia tidaklah membawa hukuman sebat.
Namun yang demikian kita perlu fahami, apa jua dosa yang kita lakukan
sebenarnya akan dihisab oleh Allah. Sama ada dosa besar atau dosa kecil,
itu bukanlah isunya. Seharusnya yang menjadi prioriti kita adalah untuk
menjaga mata, telinga, hati serta anggota badan kita seluruhnya dari
terjebak dengan perlakuan zina dan perbuatan yang menjurus kepada zina.
Na’udzubillahi min zaalik.
Di antara akibat buruk dan bahaya tersebut adalah :
1- Dalam zina terkumpul bermacam-macam dosa dan
keburukan yakni berkurangnya agama si penzina, hilangnya sikap wara’
(menjaga diri dari dosa), buruk keperibadian dan hilangnya rasa cemburu.
2- Zina membunuh rasa malu, padahal dalam Islam malu
merupakan suatu hal yang amat diambil berat dan perhiasan yang sangat
indah khasnya bagi wanita.
3- Menjadikan wajah pelakunya muram dan gelap.
4- Membuat hati menjadi gelap dan mematikan sinarnya.
5- Menjadikan pelakunya selalu dalam kemiskinan atau
merasa demikian sehingga tidak pernah merasa cukup dengan apa yang
diterimanya.
6- Akan menghilangkan kehormatan pelakunya dan jatuh martabatnya baik di hadapan Allah mahupun sesama manusia.
7- Allah akan mencampakkan sifat liar di hati penzina, sehingga pandangan matanya liar dan tidak terkawal.
8- Pezina akan dipandang oleh manusia dengan pandangan mual dan tidak percaya.
9- Zina mengeluarkan bau busuk yang mampu dihidu oleh
orang-orang yang memiliki ‘qalbun salim’ (hati yang bersih) melalui
mulut atau badannya.
10- Kesempitan hati dan dada selalu meliputi para
pezina. Apa yang ia dapati dalam kehidupan ini adalah sebalik dari apa
yang diingininya. Ini adalah kerana, orang yang mencari kenikmatan hidup
dengan cara bermaksiat kepada Allah maka Allah akan memberikan yang
sebaliknya dari apa yang dia inginkan, dan Allah tidak menjadikan
maksiat sebagai jalan untuk mendapatkan kebaikan dan kebahagiaan.
11- Penzina telah mengharamkan dirinya untuk mendapat bidadari yang jelita di syurga kelak.
12- Perzinaan menyeret kepada terputusnya hubungan
silaturrahim, derhaka kepada orang tua, pekerjaan haram, berbuat zalim,
serta menyia-nyiakan keluarga dan keturunan. Bahkan boleh membawa kepada
pertumpahan darah dan sihir serta dosa-dosa besar yang lain. Zina
biasanya berkait dengan dosa dan maksiat yang lain sebelum atau bila
berlakunya dan selepas itu biasanya akan melahirkan kemaksiatan yang
lain pula.
13- Zina menghilangkan harga diri pelakunya dan
merosakkan masa depannya di samping meninggalkan aib yang berpanjangan
bukan sahaja kepada pelakunya malah kepada seluruh keluarganya.
14- Aib yang dicontengkan kepada pelaku zina lebih
membekas dan mendalam daripada asakan akidah kafir, misalnya, kerana
orang kafir yang memeluk Islam selesailah persoalannya, namun dosa zina
akan benar-benar membekas dalam jiwa kerana walaupun akhirnya pelaku
zina itu bertaubat dan membersihkan diri dia akan masih merasa berbeza
dengan orang yang tidak pernah melakukannya.
15- Jika wanita yang berzina hamil dan untuk menutupi
aibnya ia mengugurkan kandungannya itu maka dia telah berzina dan juga
telah membunuh jiwa yang tidak berdosa . Jika dia ialah seorang wanita
yang telah bersuami dan melakukan kecurangan sehingga hamil dan
membiarkan anak itu lahir maka dia telah memasukkan orang asing dalam
keluarganya dan keluarga suaminya sehingga anak itu mendapat hak warisan
mereka tanpa disedari siapa dia sebenarnya. Amat mengerikan,
naudzubillah min dzalik.
16- Perzinaan akan melahirkan generasi
individu-individu yang tidak ada asal keturunan (nasab). Di mata
masyarakat mereka tidak memiliki status sosial yang jelas.
17- Pezina laki-laki bererti telah menodai kesucian dan kehormatan wanita.
18- Zina dapat menyemai permusuhan dan menyalakan api dendam antara keluarga wanita dengan lelaki yang telah berzina dengannya.
19- Perzinaan sangat mempengaruhi jiwa kaum
keluarganya di mana mereka akan merasa jatuh martabat di mata
masyarakat, sehingga kadang-kadang menyebabkan mereka tidak berani untuk
mengangkat muka di hadapan orang lain.
20- Perzinaan menyebabkan menularnya penyakit-penyakit berbahaya seperti aids, siphilis, dan gonorhea atau kencing bernanah.
21- Perzinaan menjadikan sebab hancurnya suatu
masyarakat yakni mereka semua akan dimusnahkan oleh Allah akibat dosa
zina yang tersebar dan yang dilakukan secara terang-terangan.
Hukuman Zina
Demikianlah besarnya bahaya dosa zina, sehingga Ibnul Qayyim, ketika mengulas tentang hukuman bagi penzina, berkata: “
Allah telah mengkhususkan hadd (hukuman) bagi pelaku zina dengan tiga kekhususan iaitu:
Pertama, hukuman mati secara hina (rejam) bagi pezina
kemudian diringankan (bagi yang belum nikah) dengan dua jenis hukuman,
hukuman fizikal yakni dirotan seratus kali dan hukuman mental dengan
diasingkan selama satu tahun.
Kedua, Allah secara khusus menyebutkan larangan merasa
kasihan terhadap penzina. Umumnya sifat kasihan adalah diharuskankan
bahkan Allah itu Maha Pengasih namun rasa kasihan ini tidak boleh
sehingga menghalang dari menjalankan syariat Allah. Hal ini ditekankan
kerana orang biasanya lebih kasihan kepada penzina daripada pencuri,
perompak, pemabuk dan sebagainya. Di samping itu penzinaan boleh
dilakukan oleh siapa sahaja termasuk orang kelas atasan yang mempunyai
kedudukan tinggi yang menyebabkan orang yang menjalankan hukuman merasa
enggan dan kasihan untuk menjalankan hukuman.
Ketiga, Allah memerintahkan agar pelaksanaan hukuman
zina disaksikan oleh orang-orang mukmin dengan maksud menjadi pengajaran
dan memberikan kesan positif bagi kebaikan umat.
Beberapa Perkara Penting Yang Perlu Diperhatikan
1- Orang yang berzina dengan banyak pasangan lebih
besar dosanya daripada yang berzina hanya dengan satu orang, demikian
juga orang yang melakukanya berkali-kali dosanya lebih besar daripada
yang melakukannya hanya sekali.
2- Penzina yang berani melakukan maksiat ini dengan
terang-terangan lebih buruk daripada mereka yang melakukannya secara
sembunyi-sembunyi.
3- Berzina dengan wanita yang bersuami lebih besar
dosanya daripada dengan wanita yang tidak bersuami kerana adanya unsur
perbuatan zalim (terhadap suami wanita), boleh menyalakan api permusuhan
dan merosak keutuhan rumah tangganya.
4- Berzina dengan jiran lebih besar dosanya daripada orang yang jauh rumahnya.
5- Berzina dengan wanita yang sedang ditinggalkan suami kerana perang (jihad) lebih besar dosanya daripada dengan wanita lain.
6- Berzina dengan wanita yang ada pertalian darah atau mahram lebih jahat dan hina daripada dengan yang tidak ada hubungan mahram.
7- Ditinjau dari segi waktu maka berzina di bulan
Ramadhan, baik siangnya ataupun malamnya, lebih besar dosanya daripada
waktu-waktu lain.
8- Kemudian dari segi tempat dilakukannya, maka
berzina di tempat-tempat suci dan mulia lebih besar dosanya deripada
tempat yang lain.
9- Pezina muhson (yang sudah bersuami atau beristeri)
lebih hina daripada gadis atau jejaka, orang tua lebih buruk daripada
pemuda, orang alim lebih buruk daripada yang jahil dan orang yang
berkemampuan (terutama dari segi ekonomi) lebih buruk deripada orang
fakir atau lemah.
Bertaubat
Bertaubat ini bukan khusus hanya kepada penzina, bahkan kepada sesiapa
sahaja yang menunjukkan jalan untuk terjadinya zina, membantu dan
memberi peluang kepada pelakunya dan siapa saja yang ikut terlibat di
dalamnya. Hendaknya mereka semua segera kembali dan bertaubat dengan
sungguh-sungguh, menyesali apa yang pernah dilakukannya dan berusaha
sekuat tenaga untuk tidak kembali melakukannya. Dan yang paling penting
adalah memutuskan hubungun dengan siapa sahaja dan apa sahaja yang boleh
menarik ke arah perbuatan keji tersebut. Dengan demikian diharapkan
Allah akan menerima taubat itu dan mengampuni segala dosa yang pernah
dilakukan, dan ingatlah, tidak ada istilah ‘putus asa’ dalam mencari
rahmat Allah.
Allah berfirman, mafhumnya:
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain
bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah
membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh
syarak), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian,
akan mendapat balasan dosanya;” (Al-Furqaan 25:68)
“Akan digandakan baginya azab seksa pada hari kiamat, dan ia pula akan kekal di dalam azab itu dengan menerima kehinaan,” (Al-Furqaan 25:69)
“Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal
yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi
Maha Mengasihani.” (Al-Furqaan 25:70)
Dipetik dari: Risalah Daarul Wathan judul Min mafasid az-zina, karya Muhammad bin Ibrahim al Hamd.
Wallahu’alam….