Wednesday, February 29, 2012

Memakai Gelang Kaki Ketika Sembahyang

Soalan

Assalamualaikum.. saya ingin bertanya, apa hukum nya bagi seseorang perempuan memakai gelang kaki yang berloceng/tidak berloceng ketika sembahyang/mengambil air wuduk ?? Boleh dijelaskan dengan terperinci ? Terima Kasih.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Hukum asal memakai gelang kaki ketika mengerjakan solat ataupun mengambil wudhu’ adalah tidak dilarang. Namun, pemakaian gelang yang berloceng adalah perlu dielakkan kerana Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam ada menyatakan di dalam hadisnya yang bermaksud:
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam telah bersabda: Tiada menyertai malaikat Rahmat bersama jemaah (kumpulan) yang ada di dalamnya anjing dan juga loceng".
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi)

Berasaskan kepada maksud hadis ini, jelaslah kepada kita bahawa umat Islam adalah dilarang bermain loceng ataupun memanfaatkannya dalam apa jua keadaan termasuklah meletakkannya pada gelang ataupun rantai perhiasan yang dipakai oleh kaum wanita.
Ringkasnya, wanita Islam adalah diharamkan memakai gelang kaki yang berloceng.
Keadaan ini adalah disebabkan bunyi yang dihasilkan oleh loceng tersebut akan menarik perhatian orang ramai yang berada di persekitaran wanita tersebut. Sedangkan kaum wanita adalah dilarang daripada melakukan perbuatan yang boleh menarik perhatian terutamanya orang lelaki untuk melihat kepadanya. Larangan ini ada disebut dengan jelas di dalam firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala dalam surah an-nur ayat ke-31 yang bermaksud:
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya”.
(Surah Al-Nur 31)

Berasaskan kepada ayat inilah (dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka) telah menyebabkan mereka dilarang memakai apa jua jenis loceng ataupun perhiasan yang dapat menghasilkan bunyi kerana ia mampu untuk menarik perhatian orang yang mendengarnya.
Oleh yang demikian, walaupun memakai gelang yang berloceng tidak membatalkan solat ataupun menghalang dari sahnya wudhu’ yang diambil, kaum wanita Islam adalah diingatkan supaya tidak memakai perhiasan tersebut bagi mengelakkan diri daripada melanggar larangan Allah Subhanahu Wa Ta'ala dan seterusnya dapat memastikan diri dan keluarga sentiasa berada bersama hamba Allah yang paling taat, iaitu para malaikat. Wallahu 'alam

Ketam Nipah Di Malaysia

Soalan

SAlam...Saya ada mendengar seorang ustaz nie dia menyatakan bahawa ketam nipah di Malaysia tidak boleh dimakan kerana ketam tersebut kuat dikedua2 alam...Dan ketam nipah di India dan Pakistan boleh di makan kerana kuat di laut sahaja....Mohon penjelasan

Jawapan

Waalaikumussalam wrt. wbt
Terima kasih kerana menghubungi Jakim untuk kemusykilan agama.Ketam Nipah bukanlah daripada jenis reptilia dan amfibia, tetapi ia adalah dari jenis rustasia iaitu sama golongan dengan udang dan kerang.
Keseluruhan edaran hidupnya adalah di dalam air dan mempunyai sistem pernafasan melalui insang dan bukan paru-paru. Ia bernafas menggunakan oksigen dalam air sebagai pelarut.Kehidupan ketam Nipah di darat hanya dalam tempoh masa yang singkat sahaja iaitu lebih kurang 2 atau 3 hari, kerana dalam insangnya mempunyai satu ruang pintu yang boleh ditutup dan mengandungi sedikit air. Ia menggunakan air tersebut untuk pernafasan dan sekiranya air itu kering ia akan mati.Oleh itu dari segi hukum Ketam Nipah adalah binatang yang boleh dimakan.

Warna Rambut Bagi Orang Islam Perempuan Yang Jahil Akan Hukumnya

Soalan

apakah hukum seorang perempuan yang jahil hukum, mewarnakan rambutnya . selepas itu bertaubat dan ingin solat , apakah yang patut dilakukan? samaada perlu qoda solat atau tidak

Jawapan

Dalam kes ini, perempuan tersebut perlu mengqadha' solat yang telah ditinggalkannya. Alas an jahil sudah tidak boleh diterima pada zaman ini kerana sumber maklumat boleh didapatkan dengan begitu mudah sekali sama ada melalui media massa ataupun media cetak. Wallahu 'alam

Bacaan Doa Qunut

Soalan

ASSALAMMUALAIKUM WARAHMATULLAH HITAALA WABARAKATUH..
Apakah hukum tidak membaca doa Qunut dan tidak melakukan sujud sahwi di dalam solat subuh?
apakah dalil yang menerangkan hukum tersebut?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Hukum tidak membaca Doa Qunut dan tidak melakukan Sujud Sahwi tidak membatalkan solat yang dikerjakan. Hal ini adalah kerana kedua-dua amalan tersebut adalah amalan sunat sahaja di dalam solat.
Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk ke dalam kitab "Fiqhul Manhaji As-Syafi'i, jld. 1, Bab Solat" buku ini boleh didapatkan dalam edisi terjemahan di dalam Bahasa Melayu. Wallahu 'alam

Ustaz Bantulah Saya,sya Menyesal Dgn Ap Yg Dh Sya Lakukan

Soalan
Ada x cara untuk ank itu dinasab kan kepada bapanya jika ank itu telah wujud sebelum akd nikah

Jawapan

Dalam kes ini, anak tersebut tidak boleh dinasabkan kepada bapanya kerana ikatan nasab mereka berdua tidak diiktiraf oleh Syarak. Malah Syara' tidak menerima apa jua cara yang lain untuk menjadikan anak tersebut boleh dinasabkan kepadanya.
Dalam persoalan ini, Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam bersabda, maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radhiyallahu 'Anhu, sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Anak adalah bagi (pemilik) hamparan. Bagi penzina pula ialah Al-Hajr"
(Hadis Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ringkasnya, tidak ada cara yang lain yang diiktiraf oleh Syara' untuk menasabkan seseorang anak kepada bapanya melainkan melalui aqad nikah yang sah sahaja. Wallahu 'alam

Aurat Wanita Islam Dengan Wanita Bukan Islam

Soalan

Assalamualaikum
1. Bolehkah wanita islam mendedahkan rambut dan kaki kepada wanita bukan islam.
2. adakah haram bagi wanita islam menyentuh/berjabat tangan dengan wanita bukan islam.
3. Apakah aurat antara wanita islam mualaf dengan adik beradiknya (lelaki atau perempuan).

wasalam
terima kasih.

Jawapan

1.         Mereka dilarang berbuat demikian kerana kedua anggota tersebut adalah anggota yang wajib ditutup daripada pandangan orang awam (bukan mahram) termasuklah kepada wanita bukan Islam.

2.         Mereka tidak dilarang untuk berjabat tangan dengan wanita bukan Islam kerana manusia tidak dihukumkan najis ataupun kotor.

3.         Aurat wanita mualaf dengan adik-beradiknya yang masih kafir adalah seluruh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan.
Wallahu 'alam

Kalendar Islam Dan Masihi

Soalan

askum, bertanya tentang perbezaan kalendar islam dan masihi ini,saya agak keliru akan pergunaaan antara 2 jenis kalendar ni.contohnya apabila seorang manusia meninggal dunia pada bulan 20 zulhijrah 1430(kalendar islam) dan kalendar masihi adalah pada 7 dec 2009.bila tahun depan iaitu pada 7 dec 2010, pada hari tersebut tidak samanya harinya dalam bulan islam,maka bukan lagi 20 zulhijrah 1431,baigamana nak buat ulangtahun baca yasin seorg peninggal sama ada mengikut kalendar islam atau masihi.

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, dalam membincangkan masalah takwim/kalender Islam dan Masihi ini, kita perlu sedar bahawa kedua-dua kalendar ini adalah berbeza daripada jumlah bilangan harinya dalam setahun. Malah, jumlah harinya setiap bulan turut berbeza.
Jika kalendar Islam, jumlah hari setiap bulan hanya disekitar 29 atau 30 hari sahaja, dan ia adalah tetap. Manakala bagi kalendar masihi pula, jumlah harinya setiap bulan pula adalah di sekitar 30 atau 31 hari, malah seperti tahun ini (2012) adalah tahun lompat (februari ada 29 hari).
Oleh yang demikian, jumlah hari dalam satu tahun kalendar Islam adalah sebanyak 354 hari, manakala jumlah hari di dalam satu tahun masihi pula adalah sebanyak 365 (tahun biasa)/366 (tahun lompat).
Oleh sebab inilah, tarikh tersebut tidak menepati sebagaimana yang berlaku pada tahun lepas.
Walau bagaimanapun, mengenai membuat bacaan Surah Yasin dan tahlil untuk si mati, ia tidak perlu untuk ditunggu atau dibaca pada tarikh ulang tahun kematiannya, malah ia boleh dibuat pada bila-bila masa di sepanjang tahun. Lagi pun, ia bukan satu kewajipan yang mesti dibuat oleh ahli warisnya. Wallahu 'alam.

Perlukah Disamak?

Soalan

Saya musykil tentang sesuatu. Contoh jika saya telah memakan makanan yang mengandungi lemak khinzir. Adakah saya perlu menyamak tangan saya? Tolong jawab. Sangat berharap.

Jawapan

Dalam kes ini, jika tangan anda bersentuhan dengan makanan tersebut, maka ia perlu disertu (samak). Namun begitu, bahagian mulut sebelah dalam tidak perlu untuk disertu kerana bimbang akan mendatangkan mudarat ke atas diri anda.
Walau apa pun, beristighfarlah kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala atas kelalaian tersebut. Moga ia boleh dijadikan ingatan dan panduan kepada diri anda supaya lebih berhati-hati dalam memilih makanan selepas ini. Wallahu 'alam

Nafkah Keluarga Dan Hak Penjaan Anak

Soalan

assalamualikum,saya ingin bertanya apa hukumnya suami yg tak pernah memberi nafkah selama perkawinan,sampai menpunyai 2 orang anak yg berusia 10 tahun,makan minum, baju., rumah, sekolah anak semua istri yg tanggung.dan bila bercerai sapa yg dapat hak penjaan anak sementara 10 senpundia tak pernah bagi kat anaknya.

Jawapan

Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, isteri dan anak adalah amanah Allah kepada setiap suami. Suami yang tidak menjalankan tugasnya sebagai seorang ketua keluarga adalah seorang yang tidak bertanggungjawab ke atas amanah yang dipikulnya. Malah, sikap seperti ini adalah salah satu daripada sikap atau ciri seorang munafiq.
Ringkasnya, suami tersebut akan dibalasi dengan balasan dosa.
Mengenai persoalan siapa yang berhak untuk menjaga anak tersebut sekiranya berlaku penceraian, hal ini adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Hanya pihak mahkamah sahaja yang berhak untuk menentukan siapa yang layak untuk menjaga anak tersebut.
Dari itu, isteri yang mengalami masalah seperti ini dinasihatkan supaya merujuknya kepada pihak Unit Runding Cara Keluarga yang terdapat di Pejabat Agama Daerah yang berhampiran. Sila dapatkan nasihat daripada pegawai yang bertugas di unit ini. Wallahu 'alam

Kemusykilan Hasil Sewa Tanah

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin mendapatkan penjelasan mengenai sewaan tanah kepada orang kurang upaya yang beragama kristian yang menjalankan aktiviti perniagaan recycle barang2 terpakai yang dibantu
olih Persatuan Kristian. Adakah hasil wang sewaan tersebut boleh diterima (halal) memandangkan kepada isu2 semasa yang menjadi kemusyikan saya. Terima kasih

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, hasil sewaan tersebut adalah halal dan boleh digunakan tanpa sebarang keraguan. Hal ini adalah kerana wang yang diterima adalah bayaran sewaan tanah tersebut. Malah tanah yang disewakan itu digunakan untuk tujuan perniagaan dan perkara ini tidak dilarang atau bercanggah dengan Syariat Islam. Wallahu 'alam

Saturday, February 25, 2012

Dayuskah Suami Membantu Isteri Membuat Kerja Rumah?

Soalan :
Adakah dikira dayus seorang suami menolong isterinya membuat kerja rumah seperti anggapan sesetengah masyarakat kita? Apakah status suami ini disisi Islam? Adakah benar terdapat hadis yang mengatakan bhw Nabi Muhammad sendiri pernah menolong isterinya membuat kerja rumah spt menjahit kasut dan sebagainya? Bolehkah nyatakan versi penuh hadis tersebut?

Jawapan : 
Apabila kita mendakwa Nabi saw adalah sebaik-baik contoh, bermakna kita hendaklah sekurang-kurangnya membaca sekali lalu riwayat hidupnya dari lahir baginda hinggalah beliau wafat. Kita syorkan memiliki kitab-kitab seerah (bibliografi) baginda yg agak banyak dalam pasaran baik versi terjemahannya. Yang terbaik ialah tulisan Hudhary Bek, Sayid Abul Hasan Ali Nadvi, Qadhi Iyadh, dll.  Dari kitab ini kita akan dibawa mengembara ke dalam kehidupan harian Rasulullah saw, bagaimana kehidupan baginda sebagai seorang suami dan kepala keluarga, antara lainnya.
Dayus selalunya dikaitkan dengan kelemahan suami mengawal maksiat dlm keluarganya, misalnya dia tidak mampu mencegah aktiviti maksiat anak-anaknya dan kecurangan isterinya sedangkan dia tahu. Misalnya isterinya bebas didatangi lelaki lain dan suaminya tidak berbuat apa-apa. Ini adalah dayus yg dimaksudkan.
Adapun suami yg membantu kerja rumah itu hanyalah menyalahi adat kebiasaan saja. Misalnya dalam masyarakat Melayu atau Arab, wanita dikaitkan dengan dapur dan kerja rumah. Maka jika ada lelaki/suami yg melakukan kerja-kerja ini, maka dianggap suami yg lemah dan tunduk pada isterinya. Jika ia mampu dan merasa berat untuk melakukan, dia boleh menyediakan orang gaji (maids).
Sebenarnya menyalahi uruf ini bukanlah tercela pada sisi syara’, bahkan terpuji kerana Nabi saw melakukannya. Nabi melakukan pelbagai kerja rumah spt membasuh pakaiannya sendiri, membaiki sandalnya, membaiki pakaiannya (menjahit dan membubuh butang baju), menyapu rumah, menjaga binatang peliharaan, pergi ke pasar dan membawa sendiri barangan pasar itu. Ini diriwayatkan dalam hampir semua kitab seerah dari sumber yg sahih termasuk isterinya sendiri Aisyah ra.
Dunia sebenarnya sudah jauh berubah, isteri hari ini bukan lagi suami/isteri tulin di zaman di mana uruf (pada masa itu) Pd zaman dahulu, suami keluar berkerja dan isteri menjaga rumah saja. Hari ini, kedua-dua suami-isteri sama-sama keluar berkerja, maka jalan yg ideal sudah tentu urusan rumahtangga pun sama-samalah kena jaga.  Dan perubahan budaya ini bukan lagi suatu yg ganjil hari ini. Maka (kita berpendapat) dakwaan dayus itu sebenmarnya tidak benar. Allahu a’alam

Wednesday, February 22, 2012

Hukum Doa Panjang Umur

Soalan

Assalamualaikum...
saya ingin bertanyakan satu soalan...kawan saya ada bertanyakan soalan kepada saya,apa hukum mendoakan panjang umur? lepas itu kawan saya kaitkan doa panjang umur dengan qada' dan qadar.

Jawapan

Waalaikumussalam,
Hukum berdoa meminta umur panjang itu adalah harus.Walau bagaimanapun ketetapan untuk panjang atau pendekkan  sesuatu umur itu bergantung kepada Qada' dan Qadar  yang Allah SWT  telah tentukan sejak dari azali lagi kepada setiap makhluk yang diciptakan.Wallahu a'alam.

Mahram Atau Tidak ?

Soalan

suami cucu perempuan adakah maharam kepada opah cucu perempuan

Jawapan

Hubungan mereka adalah hubungan mahram. Ringkasnya, mereka tidak boleh berkahwin kerana pertalian mahram tersebut. Wallahu ‘alam.

Air Wadi Atau Air Mazi

Soalan

salam saya terdapat persoalan dimana jika sesorang itu mengerjakan solat dan didapati apabila selesai solat dikerjakan, zakar mengerluarkan sesuatu cecair.tidak diketahui samaada cecair tersebut samaada air mazi atau air wadi dan adakah sah solat tersebut..pohon perjelasan panel mengenai perkara ini terima kasih.

Jawapan

Wassalam,
Dalam kes ini, solat lelaki tersebut adalah tidak sah kerana solatnya itu tidak memenuhi syarat sah mendirikan solat iaitu wudhu’ yang telah terbatal.
Wudhu’nya menjadi terbatal adalah kerana keluarnya air tersebut daripada kemauluannya. Sebagaimana yang diketahui, antara sebab yang membatalkan wudhu’ ialah keluarnya sesuatu daripada dua jalan (qubul/dubur).
Oleh sebab inilah solatnya adalah tidak sah kerana wudhu’nya terbatal. Wallahu ‘alam

Tuesday, February 21, 2012

Hukum Berkahwin Dengan Wanita Hamil

Soalan

salam ustaz...soalan saya apakah sah pernikahan seorang lelaki dengan seorang perempuan yang sedang hamil anak luar nikah hasil hubungan terlarang...adakah penikahan tersebut sah dan bolehkah mereka bersekedudukan seperti suami isteri biasa sebelum wanita tersebut melahirkan anak luar nikah tersebut?apakah perlu di akad semula selepas wanita tersebut melahirkan anak?

Jawapan

Wassalam,
Pernikahan di antara seorang lelaki dengan seorang wanita yang sedang hamil anak luar nikah adalah sah sekalipun anak tersebut bukan anaknya.
Hal ini disebabkan tiada sebarang larangan yang menghalang pernikahan mereka.
Namun begitu, anak yang dikandung oleh wanita tersebut tidak boleh dinasabkan kepada lelaki yang mengahwininya kerana mereka tidak ada sebarang pertalian dan hubungan.
Setelah mereka sah diijabkabulkan, maka tiada larangan untuk mereka melakukan persetubuhan sebagaimana suami isteri yang lain.
Ringkasnya, mereka boleh melakukannya walaupun wanita tersebut masih belum bersalin lagi. Wallahu ‘alam.

Suami Tidak Mahu Mengauli Isteri Lebih Dari Setahun

Soalan

As Salam..soalan sy, blhkah sy mohon cerai drpd suami jika suami langsung tidak mahu mengauli sy selama setahun lebih ats sbb penat dan faktor usia sedangkan suami baru berumur 33 thn sedangkan sy inginkan anak.Bila sy mohon cerai,suami sampai mati x mahu melepaskan sy.Kami tlh bkawin 5 thn.Kalu suami xmahu anak,buat apa sy kawin,lbh baik sy sendiri,confirm sy xdpt anak.usia sy sendiri makin byk,sy pun xtau sama ada sy mampu ada zuriat sendiri pun xtau.mohon khidmat nasihat.terima kasih

Jawapan

Wa’alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,
Dalam kes ini sebenarnya suami anda telah melanggar ta’liq yang pernah dilafazkan dahulu (sebaik sahaja selesai majlis aqad nikah dengan anda). Terdapat beberapa perkara yang telah dita’liqkan oleh semua suami di negara ini. Berikut adalah antara perkara yang dita’liqkan oleh suami anda:
1.         suami tidak melayani isteri (muasarah) selama 4 bulan Qamariah atau lebih.
2.         Suami tidak memberi nafkah zahir selama 4 bulan Qamariah atau lebih dan isteri tidak dihukumkan sebagai nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah.
3.         Suami tidak memukul, menyakiti isteri.

Oleh yang demikian, jika suami anda sudah tidak menggauli anda selama satu tahun, ini bermakna ia sudah melebihi tempoh ta’liq yang dibuat.
Dari itu, anda berhak untuk membuat tuntutan ta’liq tersebut dengan membuat aduan di Mahkamah Syariah yang berhampiran dan membuat pembayaran sebanyak RM 1/RM 10 (bagi Wilayah Persekutuan) kepada hakim.
Apabila anda telah membuat aduan dan membuat bayaran tersebut, pihak mahkamah berhak untuk menceraikan anda dengan talak satu.
Oleh yang demikian, anda dicadangkan supaya membuat aduan tersebut dan sebelum itu mintalah nasihat daripada pegawai kaunselor yang bertugas di Unit Runding Cara Keluarga yang terdapat di Pejabat Agama Daerah yang berdekatan.
Semoga dengan jawapan ini dapat meringankan bebanan masalah yang sedang anda hadapi. Ingatlah, hidup ini penuh dengan ujian dan cabaran. Banyakan bersabar dan berdoalah ke Hadrat Allah SWT. Wallahu ‘alam.

Hukum Berselawat Dan Sebutannya

Soalan

Apakah hukum berselawat keatas nabi? wajibkah menyebutnya dengan bertajwid?

Jawapan

Berselawat ke atas Nabi saw adalah satu tuntutan ke atas Muslimin dan Muslimat. Malah, ia adalah amalan yang dilakukan sendiri oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan para malaikatnya, kemudiannya Allah Subhanahu Wa Ta’ala memerintahkan ke atas umat Islam supaya turut memperbanyakkan selawat ke atas Junjungan Besar Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam.
Hal ini ada dinyatakan di dalam firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala, maksudnya:
“Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat (memberi segala penghormatan dan   kebaikan)   kepada   Nabi   (Muhammad   Sallallahu ‘Alaihi Wassalam);, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan     penghormatan    yang     sepenuhnya”.
(Surah Al-Ahzab 56)

Berselawat ke atas nabi adalah satu ibadat. Oleh itu, ia hendaklah disebut dan dibaca dengan betul dan menepati kaedah penyebutan huruf Arab (makhraj yang tepat) dan ia bukanlah satu bahan senda gurau yang boleh dibuat sekadarnya sahaja (main-main). Ringkasnya, ia perlu dibuat bersungguh-sungguh dan dengan hati yang ikhlas demi untuk mendapatkan syafaat Nabi pada Hari Akhirat esok. Wallahu 'alam

Saturday, February 18, 2012

Kawen Dgn Prempuan Mgandung Ank Luar Nikah

Soalan

boleh kah jika sy berkahwin dgn perempuan yg sedang mngandung ank luar nikah,prempuan tersebut telah mengandung hampir lima bulan....adakah sy perlu tunggu ank tersebut lahir atau habis tempoh edah?

Jawapan

Jika wanita tersebut bukan isteri orang atau isteri yang baru diceraikan, anda dibolehkan untuk mengahwininya kerana tiada sebab yang menghalang anda berbuat demikian.
Namun begitu, anak yang dikandung tidak boleh dinasabkan kepada diri anda kerana ia bukan darah daging anda dan jika berbuat demikian hukumnya adalah diharamkan di dalam islam.
Ringkasnya, anak luar nikah tidak boleh dibin atau dibintikan kepada sesiapa pun melainkan kepada ibunya ataupun kepada Abdullah sahaja. Ketetapan ini adalah berasaskan kepada sabda Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Anak adalah bagi (pemilik) hamparan. Bagi penzina pula ialah al-Hajr”.
(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Pertanyaan Wuduk

Soalan

Assallammualaikum .Saya ada sedikit pertanyaan.Jika seorang itu kentut,adakah dia dikehendaki mengulangi mengambil setiap wuduk walaupun kentut lebih 2 kali.Harap beri perjelasan.
Terima kasih

Jawapan

Wa'alaikumusSalam Wa RahmatulLahi Wa Barakatuh.
Saudara yang dirahmati Allah s.w.t.,
1. Kentut merupakan perbuatan mengeluarkan angin dari dubur samada secara sengaja ataupun tidak.
2. Perbuatan tersebut termasuk dalam 4 perkara yang membatalkan wudhu' iaitu keluar sesuatu samada benda keras, cair atau angin dan seumpamanya daripada dua jalan iaitu qubul (kemaluan depan) dan dubur (belakang).
3. Oleh demikian, wudhu' saudara dikira sebagai batal. Hal ini menyebabkan saudara berada dalam keadaan tidak berwudhu'.
4. Justeru, saudara wajib berwudhu' semula sekiranya saudara ingin melaksanakan ibadah.\
Sekian, Wallahu'alam.

Penyususuan Ibu

Soalan

salam... Apakah hukumnya si abang dan si adik berkongsi susu ibu?sekiranya si abang belum berumur 2tahun?

Jawapan

Wassalam,
Tidak menjadi satu kesalahan untuk abang tersebut berkongsi susu ibu dengan adiknya. Walau bagaimanapun, jika abang itu bukan abang kandungnya (anak orang lain), sekiranya dia minum susu tersebut sehingga cukup syarat menjadi anak susuan, maka abang tersebut akan menjadi abang susuan kepada adik tersebut dan ini bermakna mereka akan menjadi adik-beradik susuan.
Ringkasnya, jika mereka tidak sama jantina, mereka tidak boleh berkahwin kerana mereka kini telah menjadi adik-beradik susuan. Wallahu ‘alam.

Bagaimana Mengerjakan Solat Gerhana?

Soalan

Bagaimanakah kaedah mengerjakan solat gerhana?

Jawapan

Wa'alaikumusSalam Wa RahmatulLahi Wa Barakatuh.
Saudara yang dirahmati Allah s.w.t.,
1. Solat gerhana juga dikenali sebagai solat Khusufain. Khusufain bermaksud 2 gerhana iaitu gerhana bulan dan gerhana matahari. Hukum mengerjakannya adalah sunat muakkad.
2. Waktu mengerjakan solat gerhana matahari adalah dari timbul gerhana itu sampai matahari kembali seperti keadaan biasa atau sampai terbenam. Bagi solat gerhana bulan pula, ia boleh ditunaikan mulai dari terjadinya gerhana itu sampai terbit kembali, atau sampai bulan nampak penuh.
3. Kedua-dua solat ini boleh dikerjakan dengan dua kaedah berikut :
i) Solat dua rakaat seperti mana solat biasa. Boleh dilakukan secara bersendirian, tetapi lebih utama dilakukan secara berjemaah, atau
ii) Solat 2 rakaat dengan 4 kali rukuk dan 4 kali sujud. Pada rakaat pertama sesudah rukuk dan iktidal, bacalah surah al-Fatihah lagi, kemudian terus rukuk sekali lagi dan iktidal lagi, kemudian terus sujud sebagai mana biasa.
- Rakaat kedua dilakukan seperti pada rakaat pertama. Hal ini menjadikan solat gerhana itu mempunyai 4 kali rukuk, 4 kali membaca al-Fatihah dan 4 kali sujud.
iii) Bacaan surah al-fatihah dan surah-surah lain dalam solat gerhana bulan boleh dinyaringkan, sedang dalam solat gerhana matahari tidak boleh dinyaringkan. Pada tiap-tiap rakaat disunatkan membaca surah-surah panjang.
iv) Boleh juga dilaksanakan seperti kaedah mengerjakan solat sunat biasa iaitu 2 rakaat dengan 2 rukuk.
v) Lafaz niat bagi solat sunat gerhana bulan :
"Usolli Sunnatalkhusufi Rak'ataini Lillahita'ala" - Aku solat gerhana bulan dua rakaat kerana Allah Ta'ala.
vi). Lafaz niat bagi solat sunat gerhana matahari :
"Usolli Sunnatalkusufi Rak'ataini Lillahita'ala" - Aku solat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala.
Sekian, Wallahu'alam.

Thursday, February 16, 2012

Kemusyilan Tentang Qada Solat Yg Tertinggal

Soalan

assalamualaikum. saya ada sedikit kemusykilan tentang qada'

boleh ke kita selalu qada' solat kita. contoh, dlm satu minggu aminah akan tertinggal solat subuh dgn tidak sengaja. boleh ke dia qada' kan solat subuhnye yg ditinggalkan hampir 3hari berturut-turut? apa hukumnya?

Jawapan

Wa'alaikummussalam
Hukum mengqada'kan solat adalah wajib bagi setiap solat yang ditinggalkan.
Manakala perbuatan meninggalkan solat pula adalah berdosa besar.

Solat Taubat Nasuha

Soalan

(semasa sujud akhir rakaat kedua, ucapkanlah Doa Nabi Yunus sebanyak 40 kali (bersungguh-sungguh di dalam hati memohon keampunan dari Allah Ta’ala),
ASSALAMUALAIKUM, SOALAN SAYA: Adakah Semasa sujud akhir rakaat ke2 kita tidak perlu untuk bacaan TAHIYAT AKHIR? Adakah kita hanya duduk & terus mengucapkan doa Nabi Yunus? Harap dapat penjelasan. Saya ingin melakukan solat Taubat Nasuha kerana sy byk melakukan dosa.

Jawapan

Waalaikumussalam,
Untuk makluman anda semasa melakukan 2 rakaat solat taubat nasuha perlu dibaca doa berikut pada sujud terakhir solat berkenaan iaitu:
1.Sujud terakhir- sebelum baca doa nabi Yunos anda juga perlu baca tasbih  sebanyak 3 kali.
2.Istighfar
3. 40 KALI Doa nabi Yunos, iaitu LAILA ILLA  ANTA  SUBHANAKA INNI KUNTU MANAZ ZOLIMIN
Setelah selesai Kemudian duduk antara 2 sujud dan bacalah doa tasyahud akhir  sehingga selesai dan beri salam.Wallahu a'lam

Boleh Kah Menggunakan Duit Dari Komisyen Atau Bonus Tahunan?

Soalan

Assalamualaikum wbt...tuan/puan

saya belum diakikahkan oleh org tua saya...jika saya hendak mengakikahkan untuk diri saya sendiri, bolehkah saya menggunakan duit daripada komisyen ataupun duit bonus tahunan bekerja untuk membeli kambing akikah?

terima kasih atas bantuan...

Jawapan

Waalaikumussalam, akikah ialah menyembelih binatang berkaki empat untuk melahirkan kesyukuran kerana dikurniakan anak.Hukumnya adalah sunat muakkad (yang sangat-sangat dituntut).Ia menjadi tanggungjawab kepada kedua ibubapa yang berkemampuan dari segi kewangan.Masanya ialah pada hari ke 7,jika tidak dapat pada hari ke 14,jika tidak mampu pada hari ke 21 dan begitulah seterusnya sehinggalah anak tersebut baligh.
Pada hari ketujuh kebiasaanya anak tersebut diberi nama,ditahnik,dicukur rambut dan ditimbang serta dinilai dengan matawang perak dan disedekahkan wang tersebut kepada fakir miskin dan diakikahkan.
Apabila anak telah sampai umur baligh ketika itu tuntutan tersebut bukan lagi menjadi tanggungjawab ibu bapa   tetapi tanggungjawab itu  telah berpindah kepada anak.
Berbalik kepada soalan yang diajukan, anda boleh menggunakan duit yang diperolehi hasil daripada komisyen dan bonus untuk membuat akikah bagi diri sendiri.Perbuatan itu dibolehkan dan sah.Wallahu a'lam.

Berdosakah Menyedekahkan Baju Tidak Menutup Aurat Kepada Orang Bukan Muslim

Soalan
Adakalanya pakaian di dalam simpanan saya terlalu banyak. Saya sering menyedekahkan pakaian yang tidak menutup aurat (yang saya pakai di rumah) kepada orang bukan muslim. Alasan saya berbuat demikian adalah untuk mengelakkan saya menanggung dosa jika wanita muslim memakai pakaian tidak menutup aurat tersebut di khalayak ramai.

Apakah hukum saya menyedekahkan pakaian tidak menutup aurat tersebut kepada orang bukan muslim?

Jawapan

Wa'alaikumusSalam Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh.
Saudari yang dirahmati Allah s.w.t.,
1. Asasnya, harus hukumnya saudari menderma kepada orang bukan Islam. Namun demikian, adalah lebih afdhal/ lebih utama saudari bersedekah kepada kaum kerabat terdekat yang sedang memerlukan sebelum diberi kepada orang lain.
2. Sebaik-baiknya, saudari menyedekahkan pakaian tersebut kepada orang yang benar-benar sedang memerlukan kepada bantuan tersebut.
Wallahu'alam.

Peraturan Dalam Mengerjakan Solat

Soalan

Assalamulaikum saya yang bernama di atas ingin bertanya peraturan solat , saya kerja solat dgn duduk, saya boleh berjalan dan berdiri tapi saya tidak boleh bersujud atau berdiri terlalu lama , jadi saya sembahyang duduk saja dari awal sampai akhir

Jawapan

Waalaikumussalam,
Islam itu mudah, ia tidak akan menyusahkan umatnya termasuk  ketika melaksanakan ibadah solat.Jika seseorang itu uzur disebabkan oleh penyakit, maka Islam diharuskannya   untuk solat dalam keadaan duduk.jika dalam keadaan duduk pun dia tidak mampu  melakukan maka dia boleh melaksanakan solat dalam keadaan baring, tetapi jika tidak mampu juga maka dia boleh menggerakan kelopak mata.Itulah keringanan  yang telah diberikan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW.
Berbalik kepada kes yang sedang anda hadapi sekarang,anda boleh solat dalam keadaan duduk di atas kerusi.Tetapi  dengan syarat sebelum solat arah tempat duduk tersebut mestilah se arah kiblat.Mulakan solat dengan mengangkat takbir dan niatlah solat  mengikut waktu solat.Semasa rukuk tundukkan sedikit  kepala anda, ketika sujud rendahkan lagi aras kepala supaya tidak sama aras  semasa  rukuk. Begitulah perbuatan  dalam solat  sehinggalah anda selesai  menunaikan solat  dan memberi salam. Wallahu a'alm.

Sunday, February 12, 2012

Hukum Najis Yang Sudah Kering

Soalan

adakah sah solat seseorang sekiranya najis yang terkena pada pakaiannya tidak cukup sifat contohnya tiada bau tetapi ada rupa dan warna.

Jawapan

Solatnya adalah tidak sah kerana rupa dan warna adalah salah satu daripada ciri-ciri atau sifat najis yang perlu dihilangkan.
Ringkasnya, terdapat 3 ciri-ciri ataupun sifat najis. jika ada ketiga-tiga ataupun salah satu daripadanya, ini bermakna ia masih wujud di tempat itu. ciri-ciri tersebut adalah seperti berikut:
1.         Bau.
2.         Warna.
3.         Rasa (dengan menggunakan tangan/sentuh).

Dari itu, pakaian yang masih mempunyai warna najis ataupun rupa najis tidak boleh digunakan untuk mengerjakan solat. Jika dipakai untuk bersolat, solat yang dikerjakan adalah tidak sah kerana pemakainya dihukumkan membawa najis di dalam solat tersebut. Wallahu 'Alam.

Bersetubuh Mlm MaULIDUR RASUL.

Soalan

saya ingin tahu...apakah wajib sy lakukan sekiranya bersetubuh malam maulidur rasul...sebab,,sy mmg x ingat langsung yg malam tu malam maulidur rasul..apakah harus sy lakukan??

Jawapan

bersetubuh dengan isteri pada malam Mawlidur Rasul adalah tidak dilarang di dalam Islam. ringkasnya, ia boleh dilakukan tanpa sebarang halangan.
Namun begitu, apa yang wajib anda lakukan ialah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wa Ta'ala kerana telah memberi rezeki yang halal untuk anda melepaskan nafsu syahwat anda (memiliki isteri yang sah). Wallahu 'Alam.

Keluar Hingus Ketika Mandi Wajib

Soalan

ketika mandi wajib, ada hingus keluar dan kita hembus hingus tersebut. soalannya, adakah mandi wajib itu sah atau tidak sah?

Jawapan

Mandi wajib yang dilakukan adalah sah dengan syarat telah memenuhi segala syarat dan rukun mandi wajib. Wallahu 'Alam

Solat Sambil Mengendong Baby

Soalan

saya ada baca 1 artikel tntang solat sambil mengendong baby.adakah boleh seseorg ibu solat sambil mengendong baby?sahkah solatny?

Jawapan

Di dalam mengerjakan solat, solat seseorang dikira sah apabila memenuhi beberapa syarat sah solat dan di antaranya ialah mesti berada di dalam keadaan yang suci daripada hadas dan najis.
Oleh yang demikian, solat seseorang ibu yang mengendong anak kecilnya semasa bersolat adalah sah dengan syarat anak kecil tersebut berada di dalam keadaan yang bersih daripada najis (lampinnya tidak ada air kencing ataupun tahi) disepanjang tempoh beliau mengerjakan solat.
Namun begitu, jika semasa beliau mendirikan solat anak kecilnya kencing ataupun berak, maka solatnya adalah terbatal kerana beliau dikira sebagai orang yang sedang menanggung najis. Orang yang menanggung atau membawa najis adalah tidak memenuhi syarat sah solat.
Dari itu, ibu yang mengendong anak kecil yang terdapat padanya najis semasa bersolat adalah tidak sah solatnya. Wallahu 'Alam.

Thursday, February 2, 2012

Hukum Mandi Bogel

Soalan

apakah hukum mandi bogel tidak kira ketika mandi biasa atau mandi hadas.

Jawapan

Wa Alaikumussalam Warahmatullahi Wa Barakatuh,
Mandi dalam keadaan bertelanjang adalah diharamkan jika mandi beramai-ramai atau di tempat yang boleh dilihat oleh orang lain  (haram kerana berlakunya pendedahan aurat). Namun, jika mandi bersendirian atau di tempat yang tidak boleh dilihat oleh orang lain seperti di dalam bilik air yang tertutup, ia adalah diharuskan.
Walaupun harus bertelanjang dalam situasi ini, namun tindakan yang terbaik ialah mandi dengan menutup aurat dengan kain basahan atau sebagainya. Hal ini disebabkan oleh terdapatnya satu riwayat hadis dari Mu’awiyah bin Haidah
Radhiyallahu 'Anhu yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya boleh kami buka?”.
Jawab Baginda Sallallahu 'Alaihi Wassalam; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”.
Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”.
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu berasa malu dari manusia”.
(Hadis Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini adalah hasan).

Wallahu 'Alam.