Saturday, April 26, 2014

Bakteria Dalam Najis Bayi

SOALAN :


"Sekiranya sumber bakteria itu adalah bukan dari najis bayi (sumber lain), perlukah mengalami proses pengasingan dan penyucian?..."

 

JAWAPAN :

 Assalamualaikum w.b.t, Saudara / Saudari yang dirahmati Allah, Merujuk kepada soalan anda, petikan fatwa tersebut adalah bermaksud setiap alkohol yang terhasil diharuskan untuk tujuan minuman sekiranya ia terhasil bukan melalui proses pembuatan arak, bukan niat menghasilkan arak dan dalam kuantiti kurang 1%. Perlu diingat juga, Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum. Manakala isu bakteria baik adalah perkara yang berbeza. Jika bakteria terhasil secara semula jadi atau proses tertentu daripada haiwan atau tumbuhan, maka ia diharuskan melainkan ia datang dari benda najis seperti babi dan anjing. Bakteria dari babi dan anjing adalah haram digunakan dan tidak boleh disucikan. Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Halal: http://www.halal.gov.my/v3/ Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Fatwa: http://www.e-fatwa.gov.my/ Wallahua'lam

 

Isteri Keluar Rumah

SOALAN :

"apa hukum isteri keluar rumah tanpa pengetahuan suami..."


JAWAPAN :

Assalamualaikum w.b.t, Saudara / Saudari yang dirahmati Allah, Merujuk kepada soalan anda, jika sekiranya isteri keluar rumah tanpa pengetahuan dan izin suaminya untuk tujuan maksiat dan melakukan perkara sia-sia, maka hukumya adalah dilarang oleh agama dan berdosa. Ia dibenarkan keluar kerana tujuan tertentu seperti untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran dan sebarang ancaman yang lain. Demikian juga dibenarkan isteri keluar rumah untuk mempelajari ilmu yang wajib (fardu ain) dalam agama sedangkan di rumahnya tidak disediakan kelas tersebut sama ada oleh suaminya sendiri atau dengan memanggil orang lain ke rumahnya yang merupakan tugas dan tanggungjawab suami terhadap isterinya sendiri. Adapun tujuan yang tidak perlu seperti keluar menziarahi kawan atau ke pasar atau bersiar-siar ia adalah dilarang keras oleh agama. Begitu juga membawa orang lain ke dalam rumah tanpa kebenarannya (suami). Inilah yang banyak berlaku dalam masyarakat kita hari ini tanpa disedari. Begitu juga isteri boleh keluar rumah untuk ke mahkamah/pejabat agama bagi tujuan membuat pengaduan kepada qadhi tentang masalah keluarganya, maka ia dibolehkan pada syarak. Wallahua'lam

Darah kepada non muslim

 SOALAN:

"Assalamualaikum, saya ingin bertanya apakah hukum menderma darah kepada non-muslim?..."

 JAWAPAN :

Assalamualaikum w.b.t, Saudara / Saudari yang dirahmati Allah, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-4 yang bersidang pada 13-14 Apr 1982 telah membincangkan Derma Darah Dan Penggunaan Darah Orang Islam Kepada Orang Bukan Islam Dan Sebaliknya. Muzakarah telah memutuskan bahawa: 1. Menderma darah hukumnya harus. 2. Tidak perlu diasingkan darah orang Islam daripada darah orang bukan Islam 3. Penghargaan dalam bentuk bayaran kepada penderma darah adalah tidak digalakkan. Keterangan/Hujah: 1. Tidak terdapat nas yang sorih daripada al-Quran dan as-Sunnah yang menyatakan tentang hukum penggunaan darah manusia dalam bidang rawatan sepertimana yang dijalankan dalam bidang perubatan hari ini. Walaubagaimanapun terdapat kaedah-kaedah fiqh yang boleh diambilkira sebagai dalil bagi mendapatkan hukum berhubung dengan tabung darah, antaranya ialah perkara-perkara yang menjadi dasar kepada hukum Islam iaitu Kaedah Fiqhiyah yang bermaksud: “Hendaklah diutamakan maslahah umum ke atas maslahah khusus”. 2. Mengenai hukum pemindahan darah juga tidak terdapat nas yang sorih sama ada dari al-Quran dan as-Sunnah atau Ijma’ Ulama’ yang melarang pemindahan darah seseorang manusia kepada manusia yang lain sama ada kedua-duanya menganuti agama yang sama atau berlainan. 3. Bekas Mufti Mesir Sheikh Husin Muhamad Al-Makhluq dalam kitabnya Fatwa Asy Syariah wal Buhuth al-Islamiyah, muka surat 195 menjelaskan mengenai hukum harus memindahkan darah manusia kepada manusia yang lain untuk perubatan seperti berikut: “Bahawa darah yang mengalir itu walaupun haram dari segi syarak, dengan berpandukan nas al-Quran, tetapi keadaan darurat yang memaksa untuk perubatan/merawat dengannya maka diharuskan mengambil munafaat dengannya bagi perubatan/rawatan dengannya dipindahkan dari seseorang kepada seseorang yang lain (pesakit), apabila diakui oleh seseorang doktor yang beragama Islam dan pakar yang mengenai halnya. Semua ahli-ahli fiqh Islam mengharuskan rawatan/perubatan dengan benda-benda yang haram dan najis, apabila tidak didapati benda-benda yang suci (ubat-ubat yang suci) yang mengambil tempatnya, bilamana seseorang doktor Muslim yang pakar berpendapat bahawa untuk menyelamatkan nyawa seseorang pesakit terhenti kepada pemindahan darah kepadanya dari seseorang yang lain (sihat), maka hukumnya adalah harus pada segi syarak melakukan demikian”. 5. Hukum keharusan terhadap perkara ini juga didasarkan kepada Kaedah Fiqhiyah iaitu “Keadaan darurat mengharuskan perkara yang dilarang”. Juga Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan tidaklah dijadikan ke atas kamu sebarang kesukaran di dalam agama”. Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Fatwa: http://www.e-fatwa.gov.my/ Wallahua'lam