Saturday, December 31, 2011

Niat Bernazar & Apa Hukum Pada Org Yg Yg Xmelaksanakan Nazar Ia,bila Sudah Tercapa

Soalan

asslamualaikum w.b.t ustaz...saya maisara ingin bertanya pasai bernazar,..bley tak kita beritahu org lain ttg nazar yg kita buat...?lg satu perkara niat nazar nie kita kna tunaikan bila apa nazar tu tercapai kan...

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Tidak  menjadi satu kesalahan jika kita bernazar dan memaklumkannya kepada orang lain berkenaan nazar yang dibuat.
Apabila sudah bernazar maka ia wajib melaksanakan nazar tersebut tersebut, jika tidak mampu maka hendaklah dia membayar kaffarah
Memberi makan kepada 10 orang miskin
Memberi pakaian kepada mereka
Membebaskan seorang hamba
Jika tidak mampu melakukan perkara di atas maka hendaklah berpuasa tiga hari.
Wallahua'lam

Berkenaan Emas Untuk Umat Islam

Soalan

As Salam Ustaz,

Saya ingin bertanya, saya ada terbaca dan terdengar dari beberapa pihak ada yang berkata sebagai umat Islam kita wajib menyimpan emas sekurang-kurnagnya satu dinar kerana emas itu adalah sumber kewangan pada zaman Rasulullah dan emas itu mempunyai auranya yang tersendiri. Adakah pendapat ini benar?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Pendapat berkenaan wajib menyimpan emas sekurang-kurangnya satu dinar itu adalah tidak benar sama sekali. Jika perkara ini wajib bagaimana pula hukumnya nanti sekiranya bagi orang fakir dan miskin yang sememangnya tidak mempunyai kemampuan bahkan untuk makan satu hari pun tidak berkemampuan.
Oleh yang demikian, Islam mengajar umatnya agar mencari pekerjaan yang halal dan sekiranya mempunyai harta yang lebih atau cukup haulnya maka zakat adalah diwajibkan ke atasnya. Wallahua'lam

CARA MEMBASUH AIR MANI ORANG LAIN YANG TERKENA BADAN KITA??

Soalan

salam kpada pihak panel..saya nk tahu,adakah kita perlau mandi wajib jika kita terkena air mani orang lain??

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Antara perkara yang mandi wajib adalah keluarnya
Haid
Nifas
wiladah
Janabah ( sebab-sebab janabah ialah keluarnya air mani lalaki atau perempuan dengan apa sebab sekalipun; bermimpi, berseronok, melihat atau berfikir0
Bagi yang terkena air mani cukuplah baginya untuk membersihkan kawasan yang terkena air mani sahaja

GELANG KAKI SEMASA PEMBATALAN AIR SEMBAHYANG

Soalan

Assalamualaikum w.b.t

apakah hukumnya jika pengantin lelaki menyarungkan gelang kaki pada kaki pengantin perempuan dalam upacara pembatalan air sembahyang??adakah ia dibolehkan atau tidak dibenarkan sama sekali?sekian, terima kasih

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terim kasih atas soalan tersebut. Upacara pembatalan air sembahyang bagi penganti baru adalah merupakan satu adat melayu  sahaja. Istilah  pembatalan air sembahyang dilakukan di mana si suami memberi hadiah kepada si isteri yang baru dikahwini. Sekiranya hadiah itu berupa gelang kaki dan hendak dipakaikan oleh suami kepada isteri barunya itu adalah tidak menjadi satu kesalahan.

Jem Jenama Smucker's Goober

Soalan

adakah jem jenama ini halal dimakan

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Jem jenama smucker's goober tidak ada dalam senarai mendapat sijil halal dari Jakim.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Halal http://www.halal.gov.my/index.php

Status Halal Kek Apollo Dan London Roll

Soalan

assalamualaikum , saya ingin tahu tentang status halal kek apollo dan london roll kerana kedua dua produk di atas mempunyai bahan yg berkod e471....

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Bekenaan kek apollo dan juga london swiss roll kedua-duanya telah mendapat  pengesahan sijil halal. Kod E yang terdapat dalam setiap makanan adalah yang bersumberkan tumbuh-tumbuhan dan fungsinya adalah sebagai menstabilkan bahan makanan tersebut.

Untuk maklumat lanjut, sila lawati laman web JAKIM, e-Halal http://www.halal.gov.my/index.php

Kemusykilan Mandi Wajib

Soalan
Salam.. saya menngunakan gel rambut... perlukah saya sabun rambut dulu sebelum mandi wajib..

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Apa yang lebih penting ketika kita mengangkat hadas besar ialah membersihkan dahulu tubuh badan kita dari sebarang kekotoran agar air itu boleh melalui seluruh anggota tubuh badan. Di sini panel mencatatkan cara mandi wajib yang bole diikuti.
1. Membaca Bismillah
2. Membersihkan anggota sulit qubul dan dubur ( seelok-eloknya mandi duduk mencangkung, tujuannya bagi meratakan air seluruh badan)
3. Jika didapati ada najis di tubuh atau sebarang benda yang menghalang air seperti gel rambut, hendaklah dibersihkan dahulu.
4. sunat berwudhuk
5. Niat mengangkat hadas besar kerana Allah swt.
6. Menjirus air ke badan, mulakan dari sebelah kanan dan seterusnya sebelah kiri.
7. Pastikan air sampai ke seluruh tubuh.
Wallahua'lam

Wednesday, December 28, 2011

Akhlak( Aurat Antara Lelaki Dengan Perempuan)

Soalan

sekiranya kakak saya berkahwin. apakah aurat antara saya dengan suaminya..
adakah saya perlu menutup aurat seperti aurat lelaki dengan wanita?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Hubungan darah daging yang rapat dan dari rahim yang sama dikira sebagai mahram. Di mana, tidak perlu kepada menutup aurat seperti berhadapan dengan orang luat. Lelaki yang sudah berkahwin dengan kakak (abanga ipar hayalah hubungan perkahwinan) maka  saudari perlu menutup aurat apabila berhadapan dengannya

Penjelasan Lebih Lanjut Mengenai Riba

Soalan

adakah pelaburan dln ASB ada mengandungi unsur riba

Jawapan

ASB adalah satu bentuk perniagaan yang berkaitan dengan saham. Dalam konteks keuntungan yang diperolehi daripada perniagaan saham, ia tidak tergolong di dalam pengertian riba. Hal ini disebabkan keuntungan yang diperolehi dalam perniagaan adalah berbeza dengan riba kerana keuntungan merupakan hasil yang diperolehi daripada perniagaan yang dijalankan.
Sebagai maklumat, berikut adalah pengertian riba:
Maksud riba dari aspek bahasa adalah bertambah ataupun subur.
Pada Syarak ia bermaksud satu aqad bagi sesuatu pertukaran barang-barang yang tertentu tetapi tidak diketahui persamaannya menurut kiraan syarak diwaktu aqad dibuat atau diketahui persamaannya dengan menggunakan kedua-dua pertukaran itu atau salah satu dari keduanya.

Untuk penjelasan lanjut, sila perhatikan pengertian bahagian riba di bawah ini:
Riba terbahagi kepada tiga bahagian :
1.    Riba Al-Fadhl – riba yang dibayar lebih pada satu pihak yang menukarkan barang. Contohnya : Satu kilo beras mahsuri ditukar dengan satu kilo beras yang lain (berlainan kualiti dan jenis).

2.    Riba Al-Yad - riba yang dibayar lebih kerana tidak diterima dalam majlis aqad jualbeli. Contohnya : Seseorang yang beraqad sebanyak RM100.00 tetapi apabila diluar aqad dibayar RM105.00.

3.    Riba Al-Nasi’ah – riba yang dibayar lebih kerana dilewatkan pembayarannya. Contohnya : Pinjaman sebanyak RM100.00 maka dibayar balik RM120.00

Ringkasnya, perniagaan saham tidak melibatkan riba. Keuntungan yang diperolehi adalah keuntungan perniagaan yang dijalankan dan bukannya hasil daripada riba.
Selain itu, jika di dalam ASB terdapatnya pengamalan riba, sudah pastilah Majlis Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan memutuskan ia adalah perniagaan yang dilarang di dalam Islam dan bukannya satu perniagaan yang diharuskan untuk dilabur oleh masyarakat Islam di negara ini. Wallahu 'Alam.

Talak Gangguan Jin

Soalan

Assalamualaikum. sy ada kemusykilan. jatuhkah talak sekiranya suami melafazkan talak di luar kewarasan di mana di dapati ada unsur2 gangguan jin atau makhluk halus yg brdamping dgn suami. suami mgatakan dia tdk sedar smsa lafaz trsebut brlaku. hal ni trbukti suami telah merujuk kpd seorg ustaz,dan ustaz mgakui mmg wujud pndamping itu brsama suami. persoalannya,adakah jatuh talak dlm situasi ini? terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Lafaz talak akan jatuh jika si suami berada dalam keadaan yang waras. Jika berlakunya kes seperti yang dinyatakan, maka adalah lebih baik,  puan  merujuk kes ini dengan segara ke Mahkamah Syariah atau pajabat agama Islam yang berhampiran bagi pengesahan lafaz cerai. 

ANAK YANG SOLEH

Soalan

apakah maksud anak yang soleh yang mendoakan kedua ibubapanya ketika mereka sudah tiada?adakah anak kandung sendiri?Bagaimana pula dengan mereka yang tidak mempunyai zuriat dan tidak pula mengambil anak angkat?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Islam sangat menganjurkan umatnya berkahwin, dengan cara ini pasangan akan dikurniakan anak. Melalui didikan yang sempurna anak itu akan menjadi anak yang soleh dan taat kepada kedua ibu bapanya. Selepas kematian hamba Allah terputuslah segala perkara dan yang tinggal hanyalah tiga perkara iaitu, sadakah jariah, ilmu yang ditinggalkan dan juga anak yang soleh yang mendoakan kesejahteraan kedua ibu bapanya. Bagi yang tidak mempunyai anak atau zuriat sendiri, maka yang ada cumalah sadakah jariah dan juga ilmu yang ditinggalkannya.
Yang dimaksudkan anak adalah zuriat dari keturunan sendiri dan  tidak termasuk anak angkat. Islam itu tersangat indah, bagi yang ajalnya tiba sebelum dia berkahwin, maka baginya yang tinggal adalah seperti yang dinyatakan iaitu,  sadakah jariah ( pemberian ) dan juga ilmu yang ditinggalkan kepada sesiapa pun. Wallahua'lam

Tuesday, December 27, 2011

BARANG KEMAS YANG WAJIB DIKELUARKAN ZAKAT

Soalan

Assalamualaikum.Saya ingin bertanya mengenai mengeluarkan zakat emas. Ustaz, perlukah kita mengeluarkan zakat emas kita sekiranya emas itu hanya dipakai sekali setahun iaitu pada hari Raya Aidilfitri? sekiranya perlu dizakatkan, berapakah yang perlu saya zakatkan?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Emas sama ada dipakai (sebagai perhiasan) sekali-sekala atau berterusan dalam tempoh setahun tidak wajib dikeluarkan zakat ke atasnya.
Walaubagaimanapun jika ia melebihi 'uruf maka wajib dikeluarkan zakat dengan kadar 2.5% atas lebihan dari nilai 'uruf. Nilai yang diambil kira adalah nilai semasa emas sahaja dan tidak termasuk batu permata atau seumpamanya. Wallahua'lam

Bayi Tabung Uji

Soalan

apakah hukum seorang wanita islam menjalankan proses bayi tabung uji untuk mendapatkan anak tanpa bernikah

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Muzakarah jawatan kuasa fatwa kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali  ke -5 yang persidang pada 16-17 November 1982 telah membincangkan bayi tabung uji. Muzakarah telah memutuskan bahawa:
1. Bayi tabung uji dari benih suami isteri yang dicantumkan secara "terhormat" adalah sah di sisi Islam. sebaliknya benih yang diambil dari benih yang bukan suami isteri yang sah maka bayi tabung uji itu adalah tidak sah.
2. bayi yang dilahirkan dari tabung uji itu boleh menjadi wali dan berhak menerima harta pesaka dari keluarga yang berhak.
3. Sekiranya benih suami dan isteri yang dikeluarkan dengan cara yang tidak bertentangan dengan Islam, maka ia dikira sebagai cara terhormat.
Melalui keputusan di atas. Maka wanita yang belum berkahwin adalah haram menjalankan proses bayi tabung uji. sekiranya ini berlaku maka status  bayi tabung uji itu  tidak diketahui dan cara sebegini telah meruntuhkan institusi perkahwinan yang telah ditetapkan oleh Allah swt.

Nazar Puasa Sebulan Yang Memberatkan

Soalan

Assalam, saya bernazar puasa sebulan, rasanya diniatkan 30 hari berturutan. Perlukah saya berpuasa 30 hari berturutan atau dibolehkan dengan tidak berturutan? Pada hari ke-22 berpuasa saya sendawa, terasa ada sesuatu di kerongkong semasa sendawa dan saya telan semula yang kemudian terasa manis di tekak, saya luahkan balik tapi saya risau jika sebenarnya puasa saya telah batal? Perlukah saya mengulang berpuasa 30 hari? Boleh saya ganti puasa sebulan dengan cara lain untuk memenuhi nazar itu?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Setiap nazar yang dibuat perlu dilaksanakan sebagaimana ia diniatkan. Jika anda telah berniat untuk berpuasa selama sebulan berturut-turut, maka anda perlulah melaksanakannya.
Namun begitu, jika merasakan nazar tersebut sukar untuk dilaksanakan, anda dibenarkan untuk menebus nazar tersebut dengan membayar kifarah nazar. Setelah kifarah tersebut dijelaskan, anda sudah tidak dituntut untuk melaksanakan nazar itu lagi. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
“Kifarah nazar adalah kifarah sumpah”.
(Hadis Riwayat Muslim, Ahmad,, Abu Dawud, Nasa'i dan Tirmidzi)

Kifarah nazar adalah seperti berikut:
1.    Memberi makan kepada 10 orang fakir miskin, atau
2.    Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin, atau
3.    Memerdahekakan seorang hamba yang mukmin, atau
4.    Berpuasa 3 hari. Bagi Mazhab Syafi’i tidak disyaratkan secara berturut-turut.

Kifarah di atas adalah lebih utama jika dilaksanakan mengikut keperluan penerima kifarah tersebut.
Walau bagaimanapun pada hari ini, sila rujuk ke Pusat Pungutan Zakat atau Baitulmal yang berdekatan untuk membuat bayaran tersebut. Wallahu 'Alam.

Adakah Jatuh Talak?

Soalan

assalamualaikum.semalam sy bergaduh dgn suami semasa di dalam kereta.dan semasa tgh memandu sy nampak suami menaip msg di telefon nya.ketika suami keluar dr kereta untuk ke kedai dia tertinggal telefonnya dan sy sempat membelek telefonnya dan terbaca di hp nya..."aku ceraikan kau (nama penuh saya).".walaupun dia tidak menghantar sms itu pd saya dan tidak menunjukkan sms itu pada saya,adakah tetap jatuh talak itu?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Cerai melalui sms dikira jatuh talak, walaubagaimanapun dalam kes puan, panel menasihatkan agar merujuk kes ini dengan segera ke mahkamah syariah atau Pejabat Agama Islam yang terdekat bagi mendapatkan pengesahan teks lafaz tersebut. Hanya mahkamah yang bekuasa akan mengesahkan teks lafaz cerai tersebut samada sah atau tidak. Wallahua'lam

Bolehkah Bercakap Ketika Berwuduk?

Soalan

boleh kah kita menjawab panggilan orang lain ketika mengambil wuduk..ataupun bercakap ketika mengambil wuduk?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Ketika kita mengambil wudhuk adalah lebih baik dalam keadaan yang tenang agar setiap wudhuk yang diambil itu adalah mengikut tartib. Bercakap sambil mengambil wudhuk tidak membatalkan wudhuk seseorang dan ia diharuskan.

Isteri Tak Dengar Cakap Suami

Soalan

salam...apakah hukumnya kalau isteri saya tak mengendahkan larangan saya untuk balik ke kampungnya? Apakah hukumnya juga isteri saya selalu lebihkan keluarga dan kawan2nya dari suaminya? Isteri saya tahu apa yang dia lakukan itu sebenarnya salah...tapi dia tetap buat jugak walaupun dah byk kali nasihat dan teguran saya berikan padanya dengan alasan dia tak buat apa2 salah pun...isteri saya ni juga lebih jagakan perasaan keluarga dan kwn2 dr perasaan suaminya sendiri...harap dpt membantu..wsalam.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut.  Kewajipan seorang isteri adalah taat kepada perintah suami selagi mana perintah itu tidak bercanggah dengan hukum syarak. Saudara boleh menggunakan kaedah teguran yang berlemah lembut. Jika tidak berjaya gunakan cara yang lebih tegas namun tidak menyakitkan hati si isteri. Saudara juga boleh gunakan kaedah mendiamkan diri, tidak bertegur dengan isteri, sehingga si isteri dapat membaca tindakan saudara.
Walaubagaimanapun, dalam hal menegur isteri, suami perlu banyak bersabar dan berdoa agar hati isteri benar-benar terpaut dengan kasih sayang suami. dengan cara ini kasih sayang isteri hanyalah kepada si suaminya.
Menulis sedikit nota yang memaklumkan bahawa anda memerlukan sedikit perhatian dari isteri, mampu menyentuh hatinya. Kaedah teguran yang penuh kasih sayang InsyaAllah dapat mengeratkan hubungan kasih sayang sekeluarga

Mengenai Status Lafaz Taklik

Soalan

Salam,

pg td isteri sy buat bising krn sy tdk dpt memenuhi batinnya semalam.
Pd mulanya sy sbr dn sy diam dgn tingkah lakunya...dia telah mencabar kesabaran sy
dan pd ms itu berlaku pertengkaran antara sy dn isteri...sy dh maklum kpd dia
ubat yg dibeli tidak berkesan...dan sy tahu sy mengalami penyakit "cepat pancut".
Dlm keadan marah...dia ckp aku call mak ko dan saya balas
ko call mak aku aku ceraikan ko..adakah talak jatuh keatas isteri sy.

Jawapan

Talaq masih belum terjatuh lagi. kenyataan anda tersebut lebih berbentuk ugutan kepada dirinya supaya tidak melibatkan ibu anda di dalam kes yang sedang anda dan dirinya hadapi.
Ringkasnya, kenyataan anda; “ko call mak aku aku ceraikan ko..” adalah satu ugutan. Sekalipun isteri anda menelefon ibu anda, talaq masih belum terjatuh lagi sehinggalah anda melafazkan talaq ke atas dirinya barulah terjatuh talaq. Wallahu 'Alam.

Solat Sunat Secara Berjamaah Dan Cara Bacaan.

Soalan

Assalammualaikum wbt, apakah solat solat sunat yang boleh dilakukan secara berjamaah dan bolehkah, contohnya solat sunat tahajjud berjemaah menguatkan bacaan sama seperti solat fardu.

Jawapan

Wa’alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Di dalam mengerjakan solat-solat sunat, hanya solat yang tertentu sahaja boleh dilakukan secara berjemaah. Di antara solat sunat yang boleh dikerjakan secara berjemaah ialah seperti:
1.    Solat tarawikh.
2.    Solat Sunat Idilfitri/Aidiladha.
3.    Solat sunat gerhana matahari/bulan.
4.    Solat sunat minta hujan.

Manakala bagi solat sunat yang lain, ia lebih afdal sekiranya dilakukan secara bersendirian termasuklah Solat Sunat Tahajud.
Mengenai persoalan membaca dengan suara yang kuat, hanya solat sunat yang disunatkan melakukannya secara berjemaah sahaja yang dibenarkan. Oleh itu, Solat Sunat Tahajud yang dikerjakan secara berjemaah perlu membaca dengan suara yang perlahan (sir). Wallahu ‘Alam

Berkenaan Talak

Soalan

Sepasang suami isteri telah bercerai, kemudian selepas hampir 2 tahun mereka berkahwin semula dengan pasangan/orang yang sama, adakah talak bagi pasangan tersebut masih tinggal 2 atau dikira kepada 3 semula selepas perkahwinan baru mereka itu?

Jawapan

Bilangan Talaq bagi pasangan tersebut kembali menjadi 3 kerana pernikahan tersebut adalah pernikahan mereka yang baru. Oleh itu, bilangan talaq turut menjadi sebagai mana bagi pasangan yang baru bernikah. Wallahu 'Alam

Kemusykilan Air Mazi Dan Air Mani.

Soalan

Salam.. semasa dlam keadaan ghairah air mazi saya telah keluar.. masalahnya semasa saya membuang air kecil ada sedikit benda sebesar benang panjangnya lebih kurang suku inci keluar bersama air kencing itu. Adakah itu dikra sebagai air mani..?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, jika semasa mengalami keghairahan tersebut anda tidak mencapai tahap merasai kenikmatan/kepuasan, ia berkemungkinan besar bukan air mani.
Hal ini adalah kerana air mani hanya akan keluar apabila seseorang itu mencapai kepuasan dan kenikmatan nafsu syahwat.
Berikut adalah ciri-ciri yang boleh dijadikan panduan untuk mengenal pasti adakah ia air mani ataupun bukan:
1. Memancar akibat dorongan syahwat disertai rasa lemah setelah mengeluarkannya.
2. Baunya seperti bau mayang kurma.
3. Keluarnya dengan memancar sedikit demi sedikit.

Oleh itu, sekiranya anda mengalami salah satu daripada tiga ciri di atas, sudah cukup untuk menentukan cairan tersebut adalah air mani.
Namun, jika anda tidak mengalami salah satu daripada ciri-ciri di atas, jelaslah ia bukan air mani. Wallahu 'Alam.

Magnum Ice-cream

Soalan

Sila beri keterangan mengenai status halal produk aiskrim Magnum Wall's terbaru...tertera kod E-number di paket E-471 E471 Mono-and Diglycerides of Fatty Acids ,Emulsifiers and Stabilizers - salts or Esters of Fatty Acids (Mushbooh, Halal if it is from plant fat, Haraam if it is from pork fat) jadi tolong jelaskan, siasat...tolong jangan minta sy rujuk pd pihak lain..anda siasat and jawab..thanks

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Untuk makluman pihak anda, aiskrim magnum telah pun mendapat pengiktirafan sijil halal dari MUI iaitu majlis Agama Islam Indonesia. Mana-mana badan dari luar negara yang telah mendapat pengesahan halal, maka sijil logo halal dari malaysia sudah tidak diperlukan lagi. Jakim mengiktiraf sebanyak 34 badan Islam yang diiktiraf oleh Jakim di luar Negara. Untuk maklumat lanjut anda boleh mendapatkan senarai nama badan-badan Islam yang diiktiraf oleh Jakim di luar Negara melalui  laman web JAKIM, e-Halal http://www.halal.gov.my/index.php, anda boleh terus klik pada menu pengguna dan cari senarai nama badan Badan Islam yang diiktiraf.
Kod yang bermula dengan huruf E adalah khusus kepada tumbuh-tumbuhan. Wallahua'lam

Berhajat Ketika Sedang Menunaikan Solat

Soalan

Assalamualaikum. Saya telah menunaikan solat fardhu Ishak secara bersendirian. Tiba-tiba datang seorang hamba Allah mengajak saya solat berjemaah. Bolehkah saya bersolat lagi secara berjemaah, dan apakah hukumnya? Terima kasih

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Tidak menjadi kesalahan jika saudara ingin mengerjakan solat secara berjamaah sekali lagi kerana berjamaah itu mempunyai gandaan pahala yang lebih berbanding solat bersendirian.

Thursday, December 22, 2011

Hukum Duit Hiburan Mengerjakan Haji/Umrah

Soalan

Assalamualaikum Ustaz,

Apakah hukum artis menggunakan dari duit dari Hiburan mereka untuk mengerjakan haji / umrah?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Apabila ingin mengerjakan sebarang amal ibadah maka perkara yang penting adalah hati yang ikhlas. Walaubagaimanapun perbuatan dengan niat yang suci dan ikhlas perlu juga diukur. Contoh yang ingin dibawa oleh panel ialah, apabila seorang lelaki yang ingin berkahwin dengan pasangannya namun mendapat tentangan dari pihak ibu bapa maka kaedah yang digunakan adalah merogol pasangannya agar wanita itu mengandung dan dengan cara sebegini keluarga tersebut akan mengizunkan perkahwinan. Jika dilihat seolah-olah niatnya ikhlas untuk memperisterikan namun cara itu adlaah salah dan berdosa.
Seperti juga kes mengerjakan haji dan umrah. Hal perbelanjaan perlulah dari sumber yang halal agar ibadah yang dilakuakn itu diterima oleh Allah swt. Tidak kira samada ada dia seorang artis atau tidak, jika diizin oleh Allah apabila pulang dari mengerjakan haji dan dia sudah berubah kearah kebaikan maka itu yang diharapkan dan didoakan.
"Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)."
Wallahua'lam

Taubat Minum Arak

Soalan

slm.
sy ingin bertanya, sekiranya seseorang itu tahu bahawa hukum minum arak itu berdosa besar dimana ibadahnya tidak akan diterima Allah 40 hari , akan tetapi telah terlanjur kerana pengaruh kawan dan telah minum arak sebnyak 2 kali, seseorang itu telah insaf dan ingin bertaubat nasuha dan tidak akan ulangi lg , adakah solat dan ibadahnya akan diterima Allah selepas itu slpas bertaubat???? ataupun slpas 40 hari itu barulah diterima ibadah dan solatnya??


Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Semoga Allah melimpahkan hidayah yang berterusan kepada saudara/ ri dan mendekatkan diri kepada Allah swt. Seorang hamba apabila melakukan dosa tidak kira dosa besara atau kecil dan selepas itu dia bertaubat sebelum tiba ajalnya maka dosa sudah terhapus ibarat seorang bayi yang baru dilahirkan.
Yang dimaksudkan oleh saudara/ri amalan tidak diterima selama 40 hari ialah seorang hamba yang melakukan dosa dan dalama masa yang sama mendirikan solat. Hal seperti inilah yang dikatakan amalan tidak diterima oleh Allah.
Apabila saudara/ri sudah bertaubat dengan taubat nasuha tidak mahu mengulangi dosa minum arak maka amalan saudara akan diterima oleh Allah swt. Tanamkan di dalam hati untuk tidak mendekati sebarang dosa-dosa kecil ataupun dosa besar. Perbanyakkanlah amal ibadah kepada Allah agar segala amalan kita diterima oleh Allha swt.
Wallahua'lam

Thaharah: Babi Dan Anjing

Soalan

salam.
satu hari,ada babi hutan melalui jalan(bertar) depan rumah saya,masa tu hujan,mestilah basah. selepas itu, kereta saya melalui kawasan tersebut, dan parking dekat rumah. adakah lantai yang terkena tayar tersebut perlu di sertu, disebabkan kite sering memijaknya. dan motosikal pula memang tidak dapat dielakkan daripada air terpercik dari jalan depan rumah saya itu. adakah perlu disertu pakaian yang terkena. untuk makluman,banyak babi babi liar berkeliaran di musim tengkujuh ini.tq

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Merujuk kepada perkara yang dinyatakan, binatang yang berkeliaran seperti anjing dan babi di atas permukaan bumi tidak kira ianya bertar atau jalan biasa yang dilalui oleh orang ramai maka tidak perlu disamak / disertu. Kerana hal ini termasuk dalam bab awam dan dikira agak menyusahkan sehingga perlu disamak kerap kali. Cukup sekadar kita berpegang sekiranya anjing dan binatang itu jika anggota tubuh badan kita secara zahirnya  bersentuhan dengan binatang tersebut maka perlulah disamak / disertu. Wallahua'lam

Solat Qasar Dan Jama'- Azan

Soalan

Berapa kalikah iqamat dibuat keika solat jama' taqdim dan ta'khir? Dan adakah ia wajib dibuat?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Jika ingin melaksanakan solat fardhu disunatkan iqamat, solat jamak cukup sekadar sekali sahaja iqamat. Sekiranya tidak melakukan iqamat ia tidak dikira berdosa. Wallahua'lam

Berniat Dalam Hati Untuk Menceraikan Isteri,dan Hukum Menceraikan Isteri Dalam Waktu Tak Smpai Sebulan Nk Bersalin

Soalan

apakah hukum jika sy sbg suami,selalu berniat di dalam hati nak bercerai dgn isteri,tetapi tidak secara lafaz,apakah sudah jatuh talak ? dalam masa tak sampai sebulan lg isteri akan bersalin,apakah hukum jika sy menceraikan isteri dlm waktu itu?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Terima Kasih atas soalan tersebut. Hal berkaitan cerai tidak boleh dipermain-mainkan. Kerana kesannya akan menjejaskan masa depan rumahtangga yang dibina atas dasar cinta.
Ucapan talak ataupun cerai perlu dilakukan ataupun disebutkan dengan jelas dan nyata, sekurang-kurangnya didengari oleh dirinya sendiri, barulah dianggap sah jatuh talaknya walaupun tidak di hadapan isterinya ataupun tanpa saksi.

Sapa Perlu Bayar Yuran Taska Ank? Suami @ Isteri?

Soalan

sy keliru..mak mertua kata..isteri perlu membayar yuran taska ank itu. sedangkn sy bertnya pada ramai org2 yg bpengalaman katanye itu tanggungjwb suami. dan bila isteri bkerja adakah smua tanggungjwb suami tu perlu kt pikul..??

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Tanggungjawab seorang suami adalah menyediakan pakaian, tempat tinggal, makanan, pendidikan dan perubatan. Suami tidak berhak keatas setiap titik peluh isteri, kerana yang wajib mencari nafkah adalah suami bukannya isteri. Walaubagaimanapun isteri boleh berkerja atas niat ingin merengankan beban si suami jika pendapatan suami tidak mencukupi. Dalam  hal pembiayaan taska anak-anak ia terletak dibawah tanggungjawab suami. Wallahua'lam

Hadas, Puasa Dan Menganti Fidyah

Soalan

Assalamualaikum ust. sy ingin bertanya, jika wanita yg datang haid ketika bulan ramadhan wanita itu perlu mengantikan puasa apabila habis tempoh haid. soalan sy, jika sudah ganti puasa adakah kami perlu mmbayar fidyah juga atau tidak perlu?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Wanita yang didatangi haid ketika bulan  ramadhan maka cukuplah baginya menggantikan puasa pada hari yang ditinggalkannya. Sekiranya tempoh setahun telah berlalu dan and belum sempat menggantikannya maka anda wajib mengqada' puasa tersebut dan membayar fidyah satu cupak beras. Satu cupak adalah bagi satu hari yang ditinggalkan. Walaubagaimanapun jika, puasa itu dilakukan pada tahun sebelum tibanya ramadhan yang akan datang maka cukuplah ia menggantikan puasa pada hari yang telah ditinggalkan sahaja.

Pernikahan Yang Tidak Direstui Keluarga Sebelah Pihak Lelaki

Soalan

Assalamualaikum w.b.t
Tuan/puan, apa hukumnya sekiranya lekaki yang berstatus duda ingin berkahwin dengan wanita berstatus janda tetapi tidak mendapat restu keluarga lelaki. Apakah dia akan menjadi anak yang derhaka?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Redha Allah itu terletak pada redha kedua ibu bapa. Tidak kira seseorang itu janda atau duda, apabila ingin mendirikan rumah tangga restu ibu bapa adalah paling penting bagi menjamin kebahagiaan rumah tangga. Walaubagaimanapun, Islam telah memberi garis panduan, bagaimana cara untuk melembutkan hati ibu bapa dalam menerima pasangan yang ingin dikahwini diterima oleh ibu bapa. Pastikan pasangan itu seorang yang benar-benar bertanggungjawab, beramal soleh, patuh pada kedua ibu bapa dan sebagainya. Wallahua'lam

Kemampuan Bagi Menunaikan Fardu Haji

Soalan

Assalamualaikum, saya berkemampuan disegi fizikal dan mempunyai kewangan yang mencukupi untuk menunaikan haji. Bagaimanapun saya belum mempunyai rumah kediaman sendiri untuk isteri dan anak saya. Mana yang lebih wajib, menyediakan kediaman untuk keluarga dulu atau menunaikan fardu haji?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Menunaikan haji itu merupakan ibadah bagi yang berkemampuan. Tanggungjawab suami adalah menyediakan keperluan asasi terlebih dahulu kepada ahli keluarga iaitu, menyediakan rumah, pakaian, makanan, pendidikan dan perubatan. Oleh yang demikian, saudara perlu menyediakan terlebih dahulu semua keperluan tersebut barulah bersedia untuk mengerjakan ibadah haji dengan tenang dan sempurna. Wallahua'lam

Penginapan Bercampur Berlainan Agama Di Perantauan

Soalan

Assalamuaikum...saya ada kemusykilan disini...saya bekerja disebuah syarikat multinasional dan dihantar ke Singapore selama 3bulan untuk menjalani latihan. sepanjang tempoh itu pihak syarikat menyediakan tempat tinggal untuk saya. tempat tinggal yang disediakan adlah sebuah apartment yang bkongsi ant lelaki dan perempuan dan pembantu rumah pula beragama kristian dan kadangkala memasak makanan tidak halal?bolehkan sy mggunakan alatan makanan y sme atau perlu sy pindah ke tempat lain?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Merujuk kepada soalan tersebut, panel menasihatkan agar saudari berpindah atau menyewa di rumah atau bilik lain yang tidak bercampur dengan lelaki yang bukan mahram. Ini dibimbangi berlaku dan timbulnya sebarang fitnah. Tambahan pula masakan yang disajikan itu mengandungi unsur-unsur syubahah dan haram seperti yang sedia maklum.
Adalah lebih baik mempertahankan pendirian agama dari memikirkan soal rugi atau sebagainya

Kepercayaan Berkaitan Dengan Kematian Dalam Masyarakat Melayu

Soalan

masih ada lagikah kepercayaan seperti badi mayat dan kepercayaan kepada burung hantu dalam masyarakat melayu semasa berlakunya kematian.

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Setiap kepercayaan tidak kira apa sekalipun dilihat pada sesuatu tempat. Islam tidak pernah mengajar umatnya mempercayai perkara-perkara sedimikian terutama yang bersangkutan dengan perkara kematian dan badi.
Mungkin kepercayaan tersebut masih wujud melihatkan kepada suasana masyarakat yang masih kuat berpegang kepada perkara-perkara tahyul dan yang boleh merosakkan minda anak-anak. Hanya dengan ilmu pengetahuan sahaja yang dapat mengelakkan seseorang atau suatu masyarakat terhindar dari kepercayaan tahyul. Wallahua'lam

Jatuhkah Talak Jika Suami Mltakkan Syarat Dan Isteri Mlnggar Syarat

Soalan

Suami pernah berkata,pergi la kalau itu yg awk nk tp jgn bwa bdk2 bsama...suami juga ada bkata jika saya mlakukan ape yg dsebut die akn lpaskan saya..tp bila jd pkara yg dsebut suami ckp itu hnya kata2 tanpa niat...apakah status prkhawinan kami?suami x mahu pkra ini drujuk dimkmah dan bt x pduli.

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Talak adalah satu perkara yang tidak boleh dibuat main-main kerana jika berlaku ia tetap dikira sah. Talak yang telah dilafazkan itu merupakan lafaz taklik suami kepada puan. Mana-mana lafaz taklik yang telah dibuat perlu dirujuk kes itu ke mahkamah syariah bagi mendapatkan pengesahan lafaz tersebut. Ini dibimbangi taraf pernikahan itu akan menjadi tidak sah dan anak yang bakal dilahirkan tidak sah taraf. Bagi mengelakkan perkara yang lebih besar berlaku maka lebih baik puan merujuk kes ini dengan segera.
Mahkamah akan memanggil suami puan untuk mendapatkan keterangan dari pihaknya suami, jika suami enggan hadir maka waran akan dikeluarkan. Wallahua'lam

Najis Dan Penyucian Samak

Soalan

Assalamualaikum. Beberapa ekor babi telah terjun ke dalam sebuah parit air menyebabkan sedikit air terpercik ke badan saya.Adakah perlu saya menyamak badan saya?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Panel  menasihatkan agar pakaian dan badan yang terkena percikan tersebut perlu disamak bagi mengelakkan sebarang rasa was-was pada masa akan datang. Memelihara diri dari sebarang najis adalah sangat dituntut dalam Islam. Wallahua'lam

Tuesday, December 20, 2011

Jatuhkah Talak?

Soalan

Salam, saya ingin bertanya. adakah jatuh talak bila suami berkata "aku boleh ceraikan kau dgn talak satau dengan syarat anak mesti bg pada aku?adakah dah jatuh talk satu? bagaimana situasi yg menyebabkan talak jatuh???

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Lafaz talak tersebut tidak dikira jatuh.
Talak akan jatuh sekiranya suami mengucapkan lafaz dengan jelas seperti " aku ceraikan kau dengan talak satu"
atau menceraikan isteri dengan kias (kinayah) " pulanglah kau ke rumah keluargamu" walaubagaimanapun lafaz kias (kinayah) ini perlu kepada niat suami. Sekiranya suami berniat ingin menceraikan isteri maka talak akan jatuh. Manakala tanpa ada niat menceraikan isteri maka lafaz tersebut tidak jatuh.
Selain daripada itu talak akan jatuh sekiranya si suami melafazkan cerai dengan lafaz taklik. Contohnya " jika kau keluar dari rumah ini maka jatuhlah talak satu" sekiranya si isteri keluar dari rumah maka talak akan jatuh.
Walaubagaimanapun, sekiranya sebarang permasalahan yang berlaku berkaitan talak, adalah lebih baik merujuk hal ini ke Pejabat Agama Islam yang berhampiran atau ke mahkamah syariah yang berhampiran bagi mendapatkan pengesahan lafaz yang telah dibuat. Wallahua'lam

Puasa Nazar

Soalan

1) Semasa saya berumur penghujung 16 tahun, saya pernah bernazar mahu berpuasa selama satu bulan jikalau saya dapat mengekalkan kedudukan saya di kelas pertama. sekarang, kelemahan saya x dpt berbuat demikian secara konsistent dan sentiasa lupa. adakah cara utk menggantikan niat nazar saya?

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Nazar adalah satu janji yang dilakukan dan hukumnya adalah wajib untuk ditunaikan. Sekiranya gagal untuk ditunaikan disebabkan keuzuran maka denda akan dikenakan. Berkaitan masalah anda, nazar anda adalah berpuasa selama sebulan, oleh yang demikian, memadailah anda berpuasa seminggu dua kali sehingga cukup satu bulan. Apa yang lebih penting adalah berusaha untuk menunaikan janji yang telah dilakukan.

Melupuskan Al Quran Dan Buku Buku Agama Yang Rosak

Soalan

di sini saya nak mencadangkan kepada tuan supaya setiap masjid ada pusat pengumpulan al quran, buku buku agama yang hendak di lupuskan supaya tidak ada a; quran, buku buku agama yang lusuh atau rosak tidak di buang sesuka hati di merata rata tempat

Jawapan

Waalaikumussalam, sebenarnya kerajaan  Malaysia telah menyediakan beberapa tempat khas bagi tujuan untuk melupuskan  al-Quran dan buku-buku  agama.Antaranya ialah:
1.Bahagian percetakan al-Quran di Kementerian dalam Negeri di Putrajaya Wilayah Persekutuan
2. Cawangan percetakan al-Quran di negeri-negeri
3.Wakil-wakil pengumpulan al-Quran yang  sah telah dilantik oleh KDN.
Cadangan anda supaya  masjid dijadikan  sebagai tempat pengumpulan al-Quran dan buku-buku agama bagi tujuan pelupusan memang ada dalam perancangan KDN. Justeru dalam hal ini  anda perlu berhubung dengan pihak cawangan kdn di negeri tempat anda tinggal bagi membolehkan mereka mengambil tindakan sepertimana yang anda cadangkan.Wallahu a'lam.

Solat Qasar Dan Jamak

Soalan

Jika saya melakukan solat jamak/qasar pada waktu zuhur kerana ingin menghadiri mesyuarat penting pada waktu petang, adakan dibolehkan? Ini kerana mesyuarat tersebut diadakan beberapa minit sebelum masuk waktu Asar dan berakhir pada waktu malam. Terima kasih

Jawapan

Assalamualaikum w.b.t
Solat jamak dan qasar adalah satu rukhsah (kelonggaran) yang diberikan oleh Allah swt kepada hambanya ketika tujuan musafir sahaja. Sekiranya atas alasan selain dari itu seperti yang telah dinyatakan ia tidak dibolehkan. Kekangan masa dan kesibukan berkerja bukan halangan bagi setiap orang Islam untuk melewatkan malah memadang rendah solat fardhu.
Adalah lebih baik sekiranya, berhenti untuk beberapa minit untuk keluar dan mengerjakan solat asar buat seketika atau mengerjakan solat terlebih dahulu barulah mengahadiri mesyuarat tersebut. Wallahua'lam

KERJAYA YANG DI BERKATI

Soalan

Assalammualaikum,saya mendapat tawaran bekerja di salah sebuah syarikat pembekal & service di shah alam,masalah nya majikan tersebut menjelaskan syarikat tersebut mempunyai ramai pelanggan termasuk kilang minuman keras alkohol.apa status kerjaya ini.ada ia berkat atau sebaliknya.di harap pihak tuan dapat beri penjelasan agar menjadi rujukan teman-teman yang lain.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Kerja yang dberkati adlah kerja yang halal. Sekiranya anda berkerja sebagai penjual bahan yang berunsurkan haram seperti arak maka ia adalah sangat dilarang. Persoalannya, jika anda berkerja sebagai pembekal arak maka ia adalah haram. Sebaliknya syarikat pembekal yang anda berkerja sekarang membekalkan barangan yang tidak berunsurkan barangan haram (seperti arak) maka pekerjaan itu adalah diharuskan. Wallahua'lam

KINAYAH ATAU TIDAK?

Soalan

Assalammualaikum, saya ada kemusykilan tentang kinayah.melalui sms suami ada menyatakan dia merasakan tidak seperti suami org,dia rasa hubungan antara kami seperti adik beradik dan dia rasa kami makin jauh.dia tringin nak jadi suami mcm org lain.dia rasa sy xdulukan dia.dia kata dia jatuh no.2 dlm hidup saya xpernah rasa no.1.mcm mana ustaz/ustazah?itu dikira kinayah ke?syg sgt sygkan suami saya tapi sy xsedar kiranya saya ada buat silap.tlg lah saya....

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Lafaz cerai kinayah sekiranya diiringi niat suami ingin menceraikan isterinya maka talak akan jatuh. Walaubagaimanapun, sms yang dihantar oleh suami puan itu hanyalah luahan dia tidak mampu menjadi suami kepada puan kerana hubungan sudah semakin jauh, Oleh yang demikian, panel menasihatkan supaya saudari perbanyakkan bersabar dan pandai mengambil hati suami puan. mendahulukan suami dalam setiap permintaannya dan melayani suami dengan ikhlas dan penuh kasih sayang dapat mengembalikan semula hubungan baik antara puan dan suami puan. InsyaAllah, semoga dengan langkah pertama dari puan serta  diiringi dengan usaha hubungan puan dan suami bertambah bahagia. InsyaAllah.

Anak Tidak Sah Taraf

Soalan

Assalam,Sy brnikah 5/12/04 dn ank tlh lahir pd 13/04/05.sy tlh mengandungkannya sblm bernikah.mse nikah klurga dah britahu juru nikah.Skrg ank sy berbintikan suami sy yg dah meninggal dunia.tiada siapa yang britahu sy ank boleh dibintikan arwah suami atau tidk.sbenarnye ank boleh dibintikan arwah suami atau tidk?Bgaimana proses untk die khwin?Dn ape status ank sy?Bila bsr sy akan trus trang tntg ape yg brlaku.tapi adakah cara lain untk jaga aib ank sy supaya bakal suami dn org lain tidk tahu?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Terima kasih atas soalan tersebut. Anak tidak sah taraf tidak boleh sama sekali di bin/bintikan kepada lelaki yang berkahwin dengan ibunya walaupun lelaki tersebut yang membuatkan si isteri itu mengandungkan anak tersebut. dalam hal sebegini sepatutnya puan segera memaklumkan kepada jabatan pendaftaran Negara untuk membuat pertukaran. Hal menjaga aib tidak boleh dijadikan satu isu kerana dibimbangi jika atas tujuan menjaga aib, keturunan anak tersebut dan hungungnya dan maslah lain akan timbul. Sangat dibimbangi apabila anak itu apabila besar dan bernikah maka pernikahan itu dikira tidak sah sekiranya menggunakan nama bapanya sedangkan dia adalah anak tidak sah taraf. Panel menasihatkan agar masalah ini dirujuk dengan segera ke Pejabat Agama Islam yang berhampiran bagi mendapatkan penjelasan yang lebih lengkap. InsyaAllah

Saturday, December 17, 2011

Bacaan Fatihah Lebih Dari Sekali Dalam Solat Berjemaah.

Soalan

Apakah hukumnya makmum membaca fatihah lebih dari sekali dalam solat berjemaah.Perkara ini terjadi kerana apabila imam membaca surah terlalu panjang maka fikiran makmum akan menjadi melayang-melayang.Bagi mengelakkannya maka makmum memilih untuk mengulang-ulang membaca fatihah.

Jawapan

Solatnya adalah sah.
Walau bagaimanapun, dalam solat berjemaah seorang imam perlu menjaga kemaslahatan para makmum. Adalah tidak wajar jika dia membaca ayat atau surah yang terlalu panjang selepas membaca Surah Al-Fatihah.
Imam tersebut dinasihatkan supaya lebih perihatin kepada kebajikan jemaah. Wallahu 'alam

Friday, December 16, 2011

Percikan Air Dalam Tandas

Soalan

Asalamualaikum. Masalah yang dihadapi kadang-kadang kita berada dalam tandas terkena air percikan dalam tandas samada pada badan atau pakaian . Bagaimana kedudukan perkara ini.Sucikah air percikan itu?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh, jika air percikan tersebut tidak kelihatan warna, bau dan juga tidak dapat dirasa tentang kewujudannya (wujudnya najis tersebut), maka ia adalah dimaafkan. Wallahu 'Alam.

Tertinggal Solat,bila Waktu Yg Perlu Kita Qadaq

Soalan

kalau tertinggal solat isyak,kena qodaq waktu isyak juga ke atau bila2 waktu boleh qadaq

Jawapan

Mengenai bilakah waktu yang paling sesuai untuk melakukan solat qadha’ Isya'' yang telah ditinggalkan ialah pada waktu itu juga (waktu teringat telah tertinggal solat tersebut). ringkasnya, tidak perlu untuk menunggu seihingga waktu Isya'' baru mengerjakannya. Solat qadha’ perlu dilakukan dengan segera dan ia tidak mempunyai waktu yang khusus. Wallahu 'Alam.

Masalah Rumah Tangga

Soalan

assalamualaikum..bagaimana nak mengatasi sikap suami yg bersikap seperti bujang sedangkn dia sudah mempunyai tanggungjawap sebagai suami & bapa?? contohnye..kurang beri kasih sayang pada anak & isteri..masa banyak di habiskn bersama dengan rakan-rakan bujang yg lain.suami juga tidak berkerja & kurang memberi belanja seperti biasa..dia juga pernah memukul saya semasa dia geram..apa pandangan ustaz/ustazah?? apa yg perlu saya lakukan?? tolong lah saya..terima kasih

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Peranan suami amat besar di dalam sesebuah keluarga. Beliau adalah ketua di dalam institusi tersebut. sebagai seorang isteri, anda perlu menegur dirinya dengan penuh hikmah agar beliau tidak menjadi marah apabila sikap ego menguasai dirinya.
Antara cara yang boleh anda ambil adalah dengan memberitahu dirinya tentang situasi atau keadaan dirinya yang semakin tidak memberi ruang untuk isteri dan anak-anak. Semasa berbual dengannya, cuba cari jalan atau peluang untuk membincangkan tentang persoalan tersebut. dalam hal ini, anda perlu bijak menggunakan kata-kata. Ibarat menarik rambut di dalam tepung.
Jika tidak berpeluang atau tidak sanggup untuk berbicara dengannya mengenai isu tersebut, cuba anda cari buku atau kitab yang ada membicarakan tentang rumah tangga yang harmoni dan bahagia, peranan suami di dalam keluarga, balasan mereka yang tidak menjalankan amanah atau sebagainya dan letakkanlah buku tersebut di ruang tamu atau di tempat yang difikirkan sesuai supaya suami dapat melihatnya.
Jika tidak berkesan juga, Panel mencadangkan supaya anda pergi bertemu dengan pegawai kaunseling keluarga di Pejabat Agama Daerah yang berdekatan. Minta nasihat daripada mereka dan cara untuk mengatasinya.
Bersabarlah di dalam ujian ini. mungkin sesuatu yang kita fikirkan berat dan susah adalah bebanan buat kita, tetapi berkemungkinan sebenarnya ia adalah yang terbaik buat diri kita yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Firman Allah, maksudnya:
"...dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu),  sedang  kamu  tidak mengetahuinya".
(Surah al-Baqarah: 216)

Dari itu, bersabarlah dan perbanyakan berdoa kepadaNya. Semoga kebahagiaan akan menjadi milik anda. Wallahu 'Alam.

Thursday, December 15, 2011

Hukum Bersubahat Dengan Orang Yang Menipu.

Soalan

Assalaamu'alaikum.

Hukum bersubahat dengan orang menipu itu haram. Tetapi jika seseorang itu bersubahat dengan orang menipu dengan tujuan takut dicedera atau sekurang-kurangnya takut dimarahi oleh orang yang menipu itu, adakah hukumnya masih haram?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Secara zahirnya hukum bersubahat atas apa-apa kesalahan adalah dikira berdosa. Walaubagaimanapun sekiranya berada dalam tekanan seperti diugut bunuh, dicederakan, ditarik hanknya atau sebagainya yang boleh menjejaskan hidupnya maka ia (subahat) diharuskan. Sekiranya kadar kemarahan itu boleh dikawal dan boleh dibawa berbincang maka adalah lebih baik tidak bersubahat dan tidak terlibat dalam mana-mana penipuan. wallahua'lam

Insan Yang Mahu Bertaubat

Soalan

Dulu semasa zaman remaja saya pernah minum arak...adakah dosa saya akan diampunkan????........

Jawapan

Waalaikumussalam,Allah sentiasa mengampunkan dosa orang-orang Islam yang telah terlanjur dengan cara bertaubat.Cuma Allah tidak akan mengampunkan  dosa mereka yang syirikkan/menduakan  Allah.Taubat yang hendak dilakukan  hendaklah taubat nasuha/ yang sungguh-sungguh. Syarat sah bagi sesuatu taubat  nasuha ialah:
1.Menyesal di atas perbuatan
2.Meninggalkan maksiat secara total dan tidak akan mengulangi semula.
3.Mohon ampun kepada Allah di atas perbuatan yang lepas
4.Jika berkaitan dengan manusia mohon maaf  atas kesalahan dan minta halalkan apa yang telah termakan atau terminum tanpa keizinannya.
Panel nasihatkan agar anda ikut betul-betul syarat ini.Beriktikad tidak akan ulangi semula perbuatan yang lampau.Perbanyakkan amalan dengan melaksanakan kerja-kerja kebajikan bagi tujuan menambah dana pahala dan amalan anda. Panel  yakin dan optimis segala dosa yang telah anda lakukan akan diampunkan oleh Allah SWT.Wallahu a'lam.

Ganti Puasa Dan Fidyah

Soalan

Assalammualaikum,
Pada tahun ini (2011) isteri saya telah meninggalkan puasa sebanyak 8 hari kerana beliau sedang mengandung dan mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Adakah saya perlu membayar fidyah bagi hari-hari yang isteri saya tidak berpuasa atau isteri saya cuma perlu mengantikan puasanya sahaja dan saya tidak perlu membayar fidyah ?
Terima Kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam, oleh kerana puasa ramadan 1432/2011  baharu sahaja berlalu dan belumpun masuk puasa bagi tahun 1433/2012, maka dalam hal ini isteri anda cuma perlu mengganti/ kada  puasanya selama 8 hari sahaja.Tetapi dengan  satu syarat iaitu jangan tunggu berakhirnya puasa 1433/2012 yang akan datang.
Jika sudah berakhir puasa 1433/2012 maka pada masa itu isteri anda perlu membayar  fidyah (satu cupak) bagi setiap hari puasa yang ditinggalkan.Dalam waktu yang sama beliau perlu kada puasa yang ditinggalkan semasa mengandung iaitu  selama 8 hari.
Panel nasihatkan agar isteri anda lakukanlah kada puasa pada masa ia tidak mual/loya lagi bagi mengelakkan lupa.Wallahu a'lam.

Perempuan Datang Bulan

Soalan

assalamualaikum saya nak tanya apa hukumnya perempuan2 datang bulah atau istri2 datang bulan tbh tak bersih boleh tak memasak?.................................

Jawapan

Waalaikumussalam, wanita yang datang bulan cuma dilarang oleh ugama Islam ialah:
1.Bersetubuh dengan suaminya
2.Bersolat
3.Berpuasa
4.Membaca al-Quran
5.Menunaikan haji atau umrah
6.Duduk dalam masjid
6.Memegang mushaf al-Quran
Dalam hal memasak tidak ada suatupun larangan untuk wanita haid/datang bulan  berbuat sedemikian. Justeru Rasulullah cuma menegah wanita yang datang bulan  agar jangan melakukan perkara-perkara yang telah disenaraikan oleh panel di atas.
Berbalik kepada persoalan tidak bersih, di zaman serba maju ini pelbagai pad boleh digunakan untuk menghalang darah haid keluar daripada kemaluan isteri, jadi  persoalan kebersihan dapat di atasi dengan mudah.
Berdasarkan situasi ini  panel nasihatkan agar wanita  janganlah mengambil kesempatan untuk menegah dirinya  daripada memasak untuk suami dan keluarga.Ini kerana  menurut Islam menyediakan makanan kepada suami dan anak-anak itu memang tinggi ganjaran  pahalanya. Wallahu a'lam.

Kekeliruan Kiblat

Soalan

Assalamualaikum w.b.t
Sah ke solat kiranya kiblat sepatutnya ke kiri sedikit tetapi semasa solat menghadap tegak lurus. Wassalam..

Jawapan

Waalaikumussalam,antara syarat  sah orang yang hendak mendirikan solat ialah berakal.Ini  bermaksud mempunyai minda (akal) positif dan waras itu  memang menjadi suatu tuntutan.Justeru sebelum solat  anda  perlu mencari arah kiblat yang sebenarnya dengan cara bertanya kepada mereka yang tahu/arif  tentang perkara tersebut.Andaikata anda yakin dengan arah kiblat yang diberitahu dan anda tidak ragu tentang kiblat tersebut maka sahlah solat yang didirikan.Hal ini berpandukan kepada kaedah Fekah iaitu:
"Al-Yakin layuzalu bissaqqi". Bermaksud, keyakinan tidak  boleh dihilangkan dengan keraguan
Berdasarkan kepada mafhum kaedah Fekah ini  jelaslah jika  anda yakin tentang arah kiblat itu memang betul maka sahlah solat yang anda dirikan itu.
Sebaliknya jika anda meragui maka tidak sah solat yang telah anda dirikan maka ketika itu jika anda sedar dan waktu masih ada hendaklah anda tunaikan solat itu semula dan jika waktu telah luput/habis  perlu anda kada' solat tersebut kerana tersilap arah kiblat yang sebenarnya. Wallahu a'lam.

Halal Dan Haram ASB

Soalan

ingin kepastian kerana banyak percanggahan pendapat

Jawapan

Assalamualaikum wrt. wbt
 Terima kasih kerana menggunakan portal ini untuk kemusykilan agama.
Berkaitan persoalan di atas,
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:
Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Dalam perkara yang sama, setelah dibuat kajian semula, Negeri Selangor telah mengeluarkan fatwa seperti berikut:

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke 2/2011 yang bersidang pada 12hb. April 2011M bersamaan 8 Jumadal Ula 1432H telah bersetuju memutuskan bahawa Pelaburan Amanah Saham Nasional (ASN), Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Seumpamanya adalah tidak halal kerana masih belum menepati hukum syarak dengan alasan seperti berikut:-

  1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) secara jelas terlibat dalam aktiviti pelaburan yang bercampur-campur antara patuh syariah dan tidak patuh syariah sebahagian besarnya adalah daripada sektor kewangan konvensional. Ini berdasarkan hadis riwayat Jabir Al-Ja’fi daripada Ibnu Mas’ud:

    مااجتمع الحلال والحرام إلاغلب الحرام الحلال
Maksudnya : “ Tidak bercampur antara yang halal dan yang haram, melainkan mengalahkan yang haram atas yang halal . ”

  1. Skim Amanah Saham Nasional ( ASN ) dan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ) diklasifikasikan sebagai dana unit amanah tidak patuh syariah oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti kerana terlibat dalam pelaburan tidak lulus syariah iaitu pelaburan dalam kaunter perbankan konvensional berteraskan faedah melalui Maybank dan pasaran wang.
     
  2. Sumbangan kepada tidak patuh syariah adalah terbesar yang tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta kadar yang berubah-ubah ini menyukarkan pelabur untuk membuat pembersihan terhadap hasil dividen.
Dalam hal ini panel berpandangan, terpulanglah kepada kebijaksanaan saudara  untuk memilih / berpegang dengan mana-mana keputusan yang dikeluarkan. Wallahua'lam.

Hukum Mandi Dengan Anak Tanpa Menutup Kemaluan

Soalan

Assalamualaikum ustaz...saya ingin bertanya apakah hukum saya atau suami saya mandi bersama anak lelaki kami yang berusia 1 tahun 3 bulan tanpa kami menutup kemaluan di depan anak tersebut?

Jawapan

Waalaikumussalam, kesempurnaan Islam berpaksikan kepada 3 komponen utama iaitu:
1.Akidah / pegangan keimanan
2.Syariat/Syariah- rujukan hukum
3.Akhlak-suri teladan,budipekerti,tingkah laku,perangai
Berdasarkan kepada 3 komponen asas  ini dari segi hubungannya  ia saling kait mengait antara satu sama lain bagi  tujuan pemantapan dan pengukuhan.Jika akidah kita kuat,kemudian syariat yang diturunkan kita dipatuhi dan akhlak mulia dan terpuji dijaga serta dipelihara,hasilnya ialah akan lahirlah  muslim dan mukmin yang sejati.
Berbalik kepada persoalan, apabila ibubapa mandi bersama dengan anak dalam keadaan telanjang/bogel,situasi ini melibatkan akhlak seseorang .Sedangkan rasulullah saw tidak pernah bertelanjang bulat tanpa seurat benang ketika bersama para isteri, apatah lagi ketika mandi.Ini kerana ada 2 malaikat yang  tidak pernah berenggang dengan manusia setiap masa iaitu rakid dan atid.Tugas mereka akan mencatat amalan baik dan amalan buruk yang dilakukan oleh manusia pada setiap ketika.
Jika kita mandi dalam keadaan bogel tambahan pula di depan anak walaupun anak tersebut masih mentah, sebenarnya kita sendiri  telah mewariskan kepada anak berkenaan akhlak yang tidak baik iaitu tidak tahu malu dan jaga maruah diri.Sedangkan pengutusan baginda kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia itu sendiri.
Justeru panel tidak hairan jika suatu ketika nanti  apabila anak  itu membesar ia akan terdidik menjadi manusia yang tidak tahu malu dan menjaga maruah diri.Pada masa itu kita selaku ibubapa akan rasa menyesal kerana salah didikan kepada anak.Perkara ini terjadi hasil daripada pengalaman yang ditiru daripada kedua ibubapa  semasa mereka kecil.
Oleh itu panel tegaskan eluklah anda berdua hentikan mandi dalam keadaan bogel apabila bersama anak.Jika hendak mandi juga cubalah belajar jadi  manusia yang tahu malu.Ini kerana dengan mengamalkan sifat malu itu dikira sebahagian daripada keimanan.
Panel syorkan agar anda didiklah anak  tersebut dengan sifat-sifat mahmudah dan mulia.Mudah-mudahan ia akan membesar dengan memiliki  akhlak seorang muslim dan mukmin sejati sebagaimana yang dianjurkan oleh baginda saw.Wallahu a'lam.

Kemusykilan Tentang Ibadah Korban Dan Akikah

Soalan

Saya raya haji thn ini saya telah membuat ibadah korban utk saya & suami manakala utk 3 anak saya melakukan akikah, boleh ke 1 lembu dibuat sekali KORBAN & AKIKAH? tapi bila saya tanya pd org yg sembelih lembu, dia tidak membenarkan kerana raya haji hanya untuk korban saja. saya tidak pernah membuat akikah untuk 3 org anak saya, bagaimana ustaz? saya kena melakukan akikah utk 3 og anak ke? blh ke 1 lembu saya membuat akikah utk 3 org anak saya iaitu 2 lelaki dan 1 perempuan?? tolonglah... bgtahu

Jawapan

Dalam perkara ini, menurut pendapat daripada Mazhab Al-Syafi'i, ibadat Aqiqah adalah sama seperti ibadat Korban (boleh berkongsi seekor lembu untuk 7 orang). Oleh itu, Seekor lembu boleh dikongsi untuk membuat Korban dan Aqiqah. (seorang 1 bahagian).
Walau bagaimanapun, apa yang membezakan kedua ibadat ini adalah pada niat sembelihan haiwan tersebut dan juga di dalam cara pengagihan daging sembelihan tersebut.
Bagi daging Korban, ia perlu disedekahkan dalam keadaan yang masih mentah lagi. manakala bagi daging Aqiqah pula, sunat dimasak terlebih dahulu sebelum diagih-agihkan kepada mereka yang berhak menerimanya.
Mengenai melakukan Aqiqah pada hari Nahar, tidak ada larangan atau tegahan daripada agama mengenainya. Malah, jika pada hari tersebut adalah hari ketujuh kelahiran bayi tersebut, maka adalah disunatkan bagi wali/penjaganya untuk melakukan Aqiqah bagi dirinya. Wallahu 'Alam.

Nazar Tidak Mahu Melakukan Dosa

Soalan

Dulu semasa remaja saya pernah bernazar seperti ini ,"sekiranya aku membuat maksiat lagi,aku bernazar untuk berpuasa 10 hari bagi setiap kali aku ulang maksiat itu".Tahun berganti tahun ,sy tetap melakukan maksiat tersebut berulang kali dan terpaksa berpuasa beratus hari.klau x slap,nazar ni nazar al-lajjaj.Bolehkah saya melakukan kafarah dengan berpuasa 3 hari shj jika tidak ada kemarahan semasa melafazkan nazar itu ? Saya sangat tertekan puasa y bnyk.




Jawapan

Dalam masalah ini, jika anda tidak mampu untuk melaksanakan nazar yang telah dibuat, anda dikehendaki membayar kifarah nazar sebagai memebus nazar tersebut.
Kifarah nazar:
1.  Memberi makan kepada 10 orang fakir miskin, atau jika tidak mampu
2.  Memberi pakaian kepada 10 orang fakir miskin, atau jika tidak mampu
3.  Memerdahekakan seorang hamba yang mukmin, atau jika tidak mampu
4.  Berpuasa 3 hari. Bagi Mazhab Syafi’i tidak disyaratkan secara berturut-turut.

Kifarah di atas boleh dijelaskan di Baitulmal atau Pusat Pungutan Zakat yang berhampiran.
Nasihat dari Panel, selepas ini tinggalkanlah perbuatan maksiat tersebut dengan hati yang rela dan pasrah kepada perintah Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Semoga anda berjaya. Wallahu 'Alam.

Adakah Dibolehkan Berimam Dengan Imam;org Yg Was-was

Soalan

assalamualaikum.

adakah dibolehkan berimam dengan imam;org yg was-was dalam solatnye?sehingga was-wasnya menganggu para makmumnye serba sdikit.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Seseorang yang mengalami masalah was-was terutama dalam ibadah solat, maka ianya tidak boleh menjadi imam dalam solat.

Wajibkah Menyimpan Janggut?

Soalan

Assalamualaikum tuan.Seperti yang saya fahami berjanggut adalah termasuk dalam sunah rasullullah saw. Persoalannya disini,sempurnakah islam seseorang itu jika tidak mengikut sunah tersebut?

Jawapan

Wa'alaikumussalam Warahmatullahi Wabarakatuh,
Menyimpan janggut bukanlah satu perkara yang diwajibkan di dalam Islam. ia hanyalah salah satu daripada Sunnah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam.
Walaupun begitu, bagi mereka yang tidak menyimpannya tetapi tidak menolak ia sebagai Sunnah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maka dirinya masih diakui oleh nabi sebagai umatnya. Sabda Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam, maksudnya:
"Barangsiapa yang tidak suka dengan sunnahku maka dia bukan dari umatku".
(Hadith Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Oleh yang demikian, bagi mereka yang tidak menerima dan mempersoalkan tentang sunnahnya menyimpan janggut sahaja yang tidak diakui oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam sebagai umatnya. Dari itu, bersamalah kita cuba untuk mengikuti Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wassalam dalam semua perkara termasuklah di dalam menyimpan janggut ini. semoga kita beroleh keberkatan daripada pengamalan sunnah-Sunnah Nabi Sallallahu 'Alaihi Wassalam. Wallahu 'Alam.