Tuesday, July 19, 2011

CABARAN AQIDAH HARI INI

Kita meyakini Aqidah Islam. Manhaj aqidah yang kita anuti ialah manhaj Aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah kerana manhaj itu menepati Aqidah yang asli dari al-Quran dan as-Sunnah. Aqidah Islam adalah keyakinan yang bersumberkan ilmu/makrifah. Ia sebagaimana diungkapkan oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali “Iman ialah makrifah yang menjadi keyakinan”. Ia bukan keyakinan yang membuta tuli, tetapi keyakinan yang bersumber kepada ilmu. Kerana itu aqidah Islam adalah aqidah ilmu. Ilmu di sisi ulamak Islam bukan semata-mata maklumat kerana maklumat ada yang benar dan ada yang salah, ada yang meyakinkan dan ada yang semata/mata sangkaan atau waham. Ilmu dalam Islam adalah suatu maklumat yang saheh dan benar. Dalam mengungkapkan ilmu, para ulamak mendefinisikannya sebagai “Mengetahui sesuatu menepati apa yang sebenarnya”. Untuk mencapai hakikat ilmu sebegini, sumber ilmu itu amat penting. Islam menetapkan sumber ilmu yang diakui datang dari tiga sumber;
1. Wahyu
2. Aqal; analisis, pengamatan.
3. Pancaran nur Ilahi
Bagi bidang agama (aqidah, amalan, hukum-hakam dan sebagainya), sumber ilmu yang muktamad ialah wahyu iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Adapun akal, hanyalah berfungsi untuk memahami wahyu, menyimpul/mengistibat hukum darinya dan mengesan illah dan hikmahnya. Ilmu agama tidak diserah kepada aqal semata-mata, apatahlagi kepada waham, sangkaan atau perasaan. Adapun bidang keduniaan, Islam menyerahnya kepada aqal. Manusia digalakkan oleh Islam untuk menggunakan aqalnya seluas mungkin tetapi hendaklah selari dengan wahyu. Kehadiran wahyu bukan untuk mengongkong akal, tetapi untuk memandunya kerana akal walaupun ia anugerah yang hebat namun ia mempunyai kelemahan yang perlu ditampung oleh wahyu.
Apabila kita berdepan dengan kecelaruan aqidah yang semakin banyak berlaku di tengah masyarakat Islam di Malaysia hari ini, timbul tanda-tanya; kenapa ia berlaku dan apa puncanya? Kita boleh senaraikan kecelaruan aqidah yang dihadapi oleh kita hari ini seperti berikut;
1. Semakin menularnya fahaman Syiah; kalau dulu hanya ada segelintir, tetapi sekarang mereka telah ada jamaah sendiri. Jika dulu secara sembunyi-sembunyi, sekarang sudah terang-terangan dan berani mencabar pihak berkuasa agama dalam negara.
2. Islam liberal; golongan ini juga semakin melebar pengaruhnya terutama di kalangan orang-orang terpelajar.
3. Ajaran sesat; tidak pernah habis isu ajaran sesat di Malaysia. Belum sempat selesai ditangani satu ajaran sesat, timbul pula ajaran yang lain pula.
4. Khurafat; semakin berleluasa dengan semakin banyak cerita-cerita hantu dan karut-marut di telivisyen, ditambah pula dengan ramai golongan ustaz yang turut sama terjun dalam kancah mistik.
5. Murtad; telah diakui oleh pihak berkuasa agama bahawa 686 permohonan murtad dan 135 darinya telah disahkan.
Kita telah menegaskan tadi bahawa aqidah dalam Islam ialah keyakinan yang bertunjangkan ilmu yang soheh yang datang dari sumber ilmu yang muktamad bagi agama iaitulah wahyu dan didokong oleh aqal yang benar. Kegagalan mendapat ilmu yang soheh itulah yang menjadi punca kecelaruan aqidah. Orang-orang yang berjaya dipengaruhi oleh fahaman-fahaman sesat di atas mereka terhijab dari ilmu yang soheh kerana itu kepercayaan mereka telah dipalingkan dari kepercayaan yang bersumberkan ilmu yang soheh kepada kepada kepercayaan yang berteraskan waham atau sangkaan mereka. Kita tidak akan berupaya membetulkan mereka selagi kita tidak boleh meyakinkan mereka bahawa ilmu yang ada pada mereka tidak benar dari dari itu timbul keyakinan yang tidak benar dalam hati sanubari mereka. Aqidah tidak boleh diubah dengan paksaan. Ia hanya boleh diubah dengan mengubah keyakinan dan keyakinan hanya boleh diubah dengan mengubah ilmu yang menjadi sumber keyakinan tersebut. Inilah cabaran yang perlu kita tempuhi hari ini.
Wallahu a’lam.

Monday, July 11, 2011

QADHA SOLAT YANG TIDAK SEMPURNA

Soalan; salam ustaz,saya ingin tanya bagaimana ingin mengqada solat sebelum2 ini krana sya bimbg ad solat yg kurang sempurna.Terima kasih
Jawapan;
Jika diyakini ada solat fardhu yang ditinggal pada masa lalu, wajiblah diqadha (mengikut pandangan jumhur Fuqahak). Adapun sekadar merasakannya tidak sempurna, tidaklah dituntut mengulangi atau mengqadhanya. Memadai dengan memperbanyakkan solat-solat sunat kerana amalan sunat akan menampung kekurangan pada amalan fardhu. Kecualilah jika yang tidak sempurna itu adalah rukun solat, atau mengerjakan solat tanpa memenuhi syarat-syarat sahnya (seperti solat tanpa bersuci, tidak menutup aurat, tersilap arah qiblat, belum masuk waktu), maka wajib diulangi semula kerana solat yang dilakukan tidak sah.

SOLAT DAN PUASA KETIKA BERJUNUB, ONANI

Soalan; Ustaz, 1)Perlukah seseorang itu mengganti solatnya setelah diketahui bahawa solatnya yg dahulu tidak sah. Atas sebab beliau mempunyai tabiat buruk pada masa lalu (sering melakukan onani@masturbasi, tetapi iAllah kini sedang dalam usaha meninggalkan tabiat tersebut. Mohon doa dari semua juga untuknya). Seperti yang saya tahu onani atau masturbasi akan mengeluarkan air mani, jadi perlu utk mandi wajib setiap kali slps keluar air tersebut, tetapi oleh keranatidak tahu akan hal ini, beliau tidak mandi wajib stp kali slps keluar air mani dan terus menunaikan solat wajib spt biasa. Menurut saya soat2 tersebut tidak sah tetapi ketika itu beliau dalam keadaan tidak tahu.Jadi kembali pada soalan saya, adakah perlu utk beliau utk mengganti solatnya selama mana yg dirasakan tidak sah? Begitu juga dgn puasanya. TERIMAKASIH
Jawapan;
1. Solat; Ia wajib menggantikan solat yang dilakukan dalam keadaan berjunub tersebut kerana syarat sah solat antaranya ialah ialah suci dari hadas. Buatlah anggaran bilangan solat yang terbabit dan tunaikan solat qadha sedikit demi sedikit hingga selesai keseluruhannya.
2. Puasa; jika ia melakukan onani ketika sedang berpuasa, batallah puasanya kerana di antara perkara yang membatalkan puasa ialah mengeluarkan air mani dengan sengaja dengan perbuatan secara lansung (berjimak, menggunakan tangan dan sebagainya).
3. Perbuatan onani adalah dilarang di sisi Syariat kerana seorang muslim tidak diharuskan melepaskan keinginan seksnya melainkan kepada isteri yang sah, di samping perbuatan itu memudaratkan tubuh pada masa akan datang. Tanganinya dengan banyak berpuasa dan memohon kekuatan dari Allah.
Wallahu a’lam

Thursday, July 7, 2011

ISTERI BERKERJA; HAK GAJI DAN NAFKAH

Soalan; Assalamualaikum Ust. Mohon huraikan berkenaan pandangan Islam terhadap wanita atau isteri yang bekerja, juga berkenaan kewajipan nafkah ke atas suami bagi isteri yang bekerja menurut pandangan ulama hari ini. Sekian. Terima kasih.
Jawapan;
   
1. Isteri tidak harus keluar rumah melainkan dengan izin suami. Oleh itu, tidak harus isteri berkerja di luar kecuali dengan keizinan suami (selama suami menunaikan tanggungjawab nafkahnya. Jika suami tidak menunaikan tanggungjawab nafkah, harus isteri keluar mencari sara hidupnya sekalipun tanpa keizinanan suami). Pekerjaan hendaklah bersesuaian dengan wanita dan berada dalam lingkungan yang diizinkan Syariat. Selain itu, isteri wajib memelihara auratnya ketika keluar berkerja, tidak bettabarruj dan menjaga adab-adab wanita Islam.
2. Gaji isteri sepenuhnya milik isteri. Suami tidak berhak mengambilnya tanpa kerelaan isteri. Kecualilah jika suami meletakkan syarat “sebahagian dari gaji itu hendaklah dibelanjakan untuk urusan rumah dan keluarga” sebagai balasan bagi keizinan yang ia berikan, maka isteri terikat dengan syarat tersebut. Sabda Nabi (bermaksud); “Orang-orang Islam terikat dengan syarat yang disepakati sesama mereka selama ia menepati yang hak (kitab Allah)”.
3. Dalam apa keadaan sekalipun, nafkah isteri wajib ditanggung oleh suami sekalipun isterinya kaya atau berkerjaya. Kecualilah isteri menggugurkan haknya dari nafkah dengan kerelaan sendiri. Oleh itu, isteri berkerja tidak boleh menjadi alasan kepada suami untuk mengabaikan kewajipannya memberi nafkah.
Wallahu a’lam.

PUASA-PUASA DI BULAN SYA’BAN

PUASA SEPANJANG SYA’BAN
Disunatkan berpuasa keseluruhan hari di bulan Sya’ban atau kebanyakan harinya. Ini berdasarkan hadis dari Ummu Salamah r.a. yang menceritakan; “Tidak pernah Nabi s.a.w. berpuasa (sunat) sebulan penuh dalam setahun kecuali di bulan Sya’ban di mana baginda menyambungnya dengan Ramadhan” (HR Imam Abu Daud dan an-Nasai). ‘Aisyah r.a. pula menceritakan; “Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung. Namun demikian, aku tidak pernah melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadhan, dan aku tidak pernah melihat beliau paling banyak berpuasa sebagaimana beliau berpuasa di bulan Sya’ban”. (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).
Menurut ulamak; difahami dari hadis-hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. adakalanya berpuasa sebulan penuh di bulan Sya’ban dan adakalanya baginda tidak berpuasa sebulan penuh tetapi pada kebanyakan harinya sahaja.
Apa hikmahnya Rasulullah s.a.w banyak berpuasa di bulan Sya’ban?
Seorang sahabat bernama Usamah bin Zaid r.a. pernah bertanya Nabi s.a.w. kenapa beliau banyak berpuasa di bulan Sya’ban? Nabi s.a.w. menjawab; “Bulan Sya’ban itu adalah bulan yang selalu dilupai oleh manusia di mana kedudukannya di tengah antara Rejab dan Ramadhan. Namun ia adalah bulan diangkat amalan-amalan hamba kepada Tuhan Pencipta Alam. Maka aku menyukai amalanku diangkat ketika aku berpuasa” (Riwayat Imam an-Nasai)
PUASA SELEPAS NISFU SYA’BAN
Sabda Nabi s.a.w.;

إِذَا بقي نصفٌ من شَعبَانَ فَلاَ تصُومُوا
“Apabila berbaki separuh dari bulan Sya’ban maka janganlah kamu berpuasa”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.)

Berdasarkan hadis ini dilarang berpuasa selepas nisfu Sya’ban bermula dari tanggal 16 haribulan hinggalah akhir bulan terutamanya sehari atau dua hari sebelum Ramahan (termasuklah hari Syak yang akan disebutkan nanti), sama ada puasa sunat atau puasa kerana ihtiyat (yakni dengan niat puasa Ramadhan sebagai berhati-hati) yang kebiasaannya berlaku di penghujung Sya’ban. Menurut Imam ar-Ruyani; mendahului Ramadhan dengan puasa selepas nisfu Sya’ban hukumnya adalah makruh. Adapun sehari atau dua hari sebelumnya, maka hukumnya adalah haram.
Namun menurut ulamak dikecualikan dari larangan berpuasa selepas Nisfu Sya’ban di atas orang-orang berikut;

1. Orang yang menyambung puasa yang dimulainya sebelum bulan Sya’ban masuk separuh kedua (yakni sebelum tanggal 16 haribulan) sekurang-kurangnya puasa pada hari nisfu Sya’ban. Dan disyaratkan puasanya itu berterusan hinggalah ke penghujung Sya’ban.

2. Orang yang mempunyai kebiasaan puasa tertentu seperti puasa isnin dan khamis, puasa selang sehari atau puasa ad-dahri, kemudian puasanya itu secara kebetulannya melintasi hari-hari selepas nisfu Sya’ban.

3. Orang-orang yang berpuasa dengan bersebab seperti nazar, kaffarah atau Qadha’ (termasuklah qadha’ puasa sunat).
PUASA SEHARI ATAU DUA HARI SEBELUM RAMADHAN

Dilarang berpuasa sehari atau dua hari sebelum Ramadhan berdalilkan sabda Rasulullah s.a.w. iaitu;

لا تَقَدَّمُوا شَهرَ رَمضَانَ بصَوْمِ يَوْمٍ أَوْ يَوْمََيْنِ إِلاَّ رَجُلٌ كَانَ يَصُومُ صَوْمًا فَلْيَصُمْهُ
“Janganlah engkau mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seorang yang sudah biasa berpuasa, maka bolehlah ia berpuasa”.  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.).

Sebahagian ulama’ berpendapat; pengharaman tersebut adalah dengan niat ihtiyat kepada Ramadhan. Namun bagi ulama’-ulama’ mazhab Syafi’ie; pengharaman tersebut merangkumi juga puasa sunat kecuali dalam bagi tiga orang yang disebut tadi;
1. Orang yang menyambung puasa yang dilakukan sebelumnya
2. Orang yang puasa kerana kebetulan dengan kebiasaan berpuasanya.
3. Orang berpuasa dengan bersebab seperti puasa Qadha, Nazar dan sebagainya.

PUASA HARI SYAK

Dilarang berpuasa pada hari syak berdalilkan hadis dari ‘Ammar bin Yasir r.a. yang menceritakan;

من صَامَ اليومَ الَّذِي شُكَّ فِيهِ فقد عصَى أَبا القاسمِ
“Sesiapa berpuasa pada hari syak, maka sesungguhnya ia mengingkari Abal-Qasim (gelaran bagi Rasulullah s.a.w.)”. (Riwayat Imam at-Tirmizi)
Hari syak ialah hari ke 30 Sya’ban yang timbul syak atau keraguan di kalangan orang ramai; apakah ia masih bulan Sya’ban atau telah masuk bulan Ramadhan? Keraguan itu timbul kerana ada suara-suara yang memperkata atau menghebohkan bahawa anak bulan Ramadhan telah kelihatan, namun tidak ada saksi yang adil atau yang boleh diterima yang memberitahu atau mendakwa ia melihat anak bulan itu. Hari syak ini diharamkan berpuasa sama ada dengan niat puasa Ramadhan sebagai ihtiyaht (yakni berhati-hati) atau puasa sunat. Jika ada yang berpuasa juga pada hari syak, puasanya batal dan ia berdosa. Walau bagaimanapun, dikecualikan larangan tersebut dari tiga orang yang disebut tadi.
Wallahu a’lam.